Kami sudah penat, tiada pendapatan – Peneroka

Kami sudah penat, tiada pendapatan – Peneroka

ZAITUN Sani yang sudah tujuh tahun hilang punca pendapatan berharap kerajaan negeri menyegerakan proses bagi mendapatkan kelulusan projek Lembah Solar yang dirancang di Felda Bukit Goh di Kuantan, Pahang. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 402 pe­neroka yang terjejas akibat perlombongan bauksit di Felda Bukit Goh di sini sudah penat hilang punca pendapatan sejak tujuh tahun lalu dan berharap kerajaan negeri menyegerakan proses mendapatkan kelulusan projek Lembah Solar yang dirancang di tanah rancangan itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penerokawati Felda Bukit Goh, Zaitun Sani, 70, berkata, kawasan ladang sawitnya kini terbiar tujuh tahun setelah habis dikorek oleh pe­ngusaha bauksit.

Selama tempoh itu katanya, dia hilang punca pendapatan dan terpaksa menjual sayur-sayur kampung.

“Masa bauksit dulu, saya hanya dapat RM200,000, adalah sikit-sikit lagi simpanan tetapi tidak tahulah berapa lama lagi mampu bertahan.

“Bantulah kami peneroka, memang salah kami dulu buat bauksit sebab kami gelap mata, tapi janganlah biarkan kami terus terabai begini tiada punca pendapatan,” katanya semalam.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Gagasan Dua Ge­nerasi Kuantan (G2G), Jefri Salim berkata, projek lembah solar terbesar di Asia Tenggara sedang dirancang dalam memastikan 402 peneroka yang terjejas akibat perlombongan bauksit mampu menjana pendapatan minimum RM3,000 sebulan dalam tempoh pembinaannya.

Menurutnya, selepas Tenaga Nasional Berhad (TNB) membeli tenaga solar, pendapatan peneroka akan naik sehingga RM6,000 sebulan.

Katanya, program itu dirancang dibangunkan di kawasan terlibat dan terjejas bauksit memandangkan tanah di lokasi terbabit tidak lagi sesuai untuk pertanian.

“Jika ditanam semula sekali pun pastinya memerlukan mo­dal tinggi bagi merawat tanah tersebut yang belum tentu menjanjikan kejayaan, jadi pemba­ngunan segera perlu dilakukan mengambil kira masa depan peneroka terbabit.

“Kita mohon dan rayu kepada Felda menyegerakan proses bagi memberi kebenaran projek pembangunan dilaksanakan di kawasan terlibat dan terjejas akibat bauksit di sini,” katanya.

Jefri yang juga generasi ke­dua Felda Bukit Goh berkata, Lembah Solar Bukit Goh adalah antara projek solar terbesar negara melibatkan kerjasama antara G2G dan sebuah syarikat yang ada kepakaran dan pe­ngalaman dalam bidang itu.

Katanya, projek jangka masa panjang itu melibatkan pembangunan lembah solar melebihi 300 megawatt di tanah seluas kira-kira 1,618 hektar melibatkan pelaburan besar yang di­jangka mencecah bilion ringgit.

“Memorandum Persefahaman Perancangan Projek Pembangunan Solar Farm Felda Bukit Goh telah ditandata­ngani antara G2G dengan sebuah syarikat dari Jerman dan proses seterusnya giat dilakukan bagi merealisasikan projek ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×