GUA MUSANG: Seorang lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memanfaatkan kemahiran melukis yang dimilikinya untuk mengumpul dana bagi menyambung pengajian ke peringkat diploma.
Afiq Affendi Zamiri, 18, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indra Petra 2 berkata, tindakan itu bertujuan mengurangkan pergantungan kepada ibu bapa untuk membiayai perbelanjaannya selepas ini.
Katanya, dia mula terdedah dengan dunia lukisan sejak berusia lapan tahun dan minat itu semakin berkembang selepas mengambil mata pelajaran Pendidikan Seni Visual.
“Sejak tiga tahun lalu saya beranikan diri mengambil upah melukis potret wajah. Kini saya berjaya menghasilkan hampir 1, 000 karya lukisan termasuk jenis potret, pemandangan, mural, kartun anime, 3D, abstrak dan realisme,” katanya ketika ditemui di Bandar Baru, di sini semalam.
Afiq Affendi berkata, dia perlu mengatasi perasaan malu melukis di khalayak dan belajar erti kepayahan mencari rezeki bagi mengejar cita-citanya sebagai pereka grafik.
Katanya, dia berpengalaman bekerja ketika cuaca panas apabila perlu menyiapkan lukisan mural di dinding bangunan dan kedai.
“Selain itu saya juga bekerja ketika bulan Ramadan. Saya kerja tanpa henti, selagi ada permintaan saya akan buat. Saya hanya mempromosi hasil lukisan melalui WhatsApp dan tujuannya untuk saya mencari pendapatan sendiri kerana ingin berdikari serta tidak mahu susahkan ibu bapa,” ujarnya.
Katanya, upah yang dikenakan berpatutan iaitu antara RM25 hingga RM80 bagi lukisan potret.
Katanya, dia juga bertuah apabila mendapat tunjuk ajar daripada pengajar berpengalaman, Zakariya Mamat, 67, yang merupakan pakar pengajar dan Pakar Industri Negara dalam bidang lukisan. – UTUSAN











