SEREMBAN: Inisiatif pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk tempoh 10 tahun dengan kadar bayaran istimewa bukanlah ‘peluang’ pemilik lesen terlepas daripada tindakan jika melakukan kesalahan trafik.
Sebaliknya, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempunyai kaedah dan sistem yang mampu mengesan pesalah trafik sekali gus tindakan drastik seperti penggantungan lesen boleh dilakukan.
“Walaupun ada pihak mendakwa dengan cara ini orang tidak bayar saman dan sebagainya, kami ada cara lain iaitu cara digital.
“Tidak bermaksud lesen tidak perlu diperbaharui 10 tahun, akan terlepas daripada sistem kami. Kami ada cara tersendiri menangani isu-isu penguatkuasaan,” katanya ketika mengadakan lawatan ke pejabat JPJ Negeri Sembilan di sini semalam.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan memulakan dasar baharu membenarkan pemegang lesen memandu Malaysia untuk semua kategori mendapat diskaun 10 peratus sekiranya memperbaharui tempoh 10 tahun di mana tahun ke-10 diberikan percuma kepada orang ramai.
“Cuma bayar RM270 berbanding RM300. Itu dasar baharu untuk memudahkan orang ramai.
“Saya banyak mendapat maklum balas dan permintaan daripada orang ramai tempoh untuk memperbaharui lesen memandu dipanjangkan,” katanya.
LESEN
Dalam pada itu, orang ramai tidak melepaskan peluang memperbaharui lesen mereka sehingga tempoh 10 tahun.
Salah seorang yang ditemui, Goh Huey Chung, 41, berkata, inisiatif itu amat memudahkan orang ramai terutamanya suri rumah sepertinya yang kini tidak perlu lagi memperbaharui lesen terlalu kerap.
“Biasanya saya buat lima tahun, kali ini saya tidak sangka pula inisiatif ini sudah boleh dibuat hari ini dan terus mengambil peluang memperbaharui hingga tempoh 10 tahun,” katanya.
Mohamad Zakri Nazeri, 19, pula berkata, dia juga tidak melepaskan peluang memperbaharui lesen sehingga 10 tahun dan inisiatif itu akan dapat mengelakkan dia terlupa untuk memperbaharui lesen setiap tahun.
“Kadang-kadang kita tidak memberi fokus dengan perkara seperti ini dan sering terlupa. Bagaimanapun, dengan pengenalan inisiatif ini, ia membantu banyak pihak untuk menjimatkan masa dari memperbaharui lesen setiap tahun,” katanya. – UTUSAN










