PETALING JAYA: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) bersama Pejabat Daerah dan Tanah Sepang akan menyiasat dakwaan aktiviti penerokaan tanah dan pembinaan penempatan haram di Pulau Meranti.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua MPSepang, Datuk Abdul Hamid Hussain berkata, siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti pemilik tanah sebebar di kawasan yang didakwa diceroboh.
Tindakan berkenaan, menurut beliau, adalah untuk membolehkan MPSepang mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat pelanggaran peraturan atau undang-undang.
“Pihak MPSepang bersama pentadbir tanah Sepang akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pemilik tanah untuk diberi notis sekiranya melanggar apa-apa peraturan atau undang-undang yang berkaitan.
“Perkara ini juga akan dilaporkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk mengambil tindakan ke atas PATI (pendatang asing tanpa izin) sekiranya didapati ada penempatan di lokasi berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas berhubung laporan Utusan Malaysia berkaitan dakwaan bahawa Pulau Meranti di Puchong kini menjadi lokasi tumpuan PATI membina penempatan haram dan kebun di kawasan berkenaan.
Warga asing di lokasi tersebut didakwa mensasarkan kawasan sekitar grid elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membina penempatan dengan dikelilingi oleh kebun tanaman sayuran.
Berdasarkan tinjauan, antara sayuran yang ditanam di lokasi tersebut adalah seperti kacang panjang, kakrol atau peria Bangladesh serta petola ular.
Ditanya sama ada pihak MPSepang mengetahui berhubung aktiviti di lokasi tersebut, Abdul Hamid berkata, beliau akan meneliti sekiranya ada aduan berhubung perkara itu.
“Saya tak pasti ada aduan atau tidak, kawasan ini luar kawasan perkhidmatan majlis dan aktiviti pertanian atas tanah pertanian pada anggapan kami.
“Tak salah bercucuk tanam atas tanah kosong milik persendirian,” katanya. – UTUSAN











