Hafizah al-Quran tempat kedua ACCA dunia

Hafizah al-Quran tempat kedua ACCA dunia

SAFWA Zamri (tengah) menunjukkan sijil pengiktirafan Top ACCA FIA Prize kepada ibu dan bapanya, Zamri Mohd. Amin serta Rashidah Ab. Rahman di Kampung Pengkalan Kubur, Tembila, Besut, Terengganu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Seorang hafizah al-Quran melakar sejarah apabila mendapat tempat kedua peringkat dunia dalam peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), baru-baru ini.

Safwa Zamri, 19, yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu Kampus Dungun, menerima hadiah Top ACCA Foundation in Accountancy (FIA) bagi kertas FA1-Rekod Transaksi Kewangan.

Katanya, dia yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Besut mendapat keputusan cemerlang dengan markah 98 peratus dalam peperiksaan tersebut, Mac lalu.

“Keputusan itu melayakkan saya berada pada kedudukan pertama di Malaysia dan kedua di dunia,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Safwa yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik berkata, keputusannya untuk bertukar bidang daripada Sains Tulen dan Agama kepada bidang Perakaunan berbaloi dengan keputusan tersebut.

“Saya memang meminati subjek Matematik, namun memilih program Al-Syahadah al-Ulya Ulul Albab ketika berada di Tingkatan Empat kerana mahu mempelajari kitab turath di samping mata pelajaran Sains Tulen seperti Fizik, Kimia dan Biologi.

“Alhamdulillah saya berjaya memperoleh 12A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta berjaya hafaz 30 juzuk al-Quran ketika berada di tingkatan dua.

“Bagaimanapun, dengan nasihat ibu bapa, saya bertekad bertukar bidang kepada perakaunan lantas memohon program Asasi kerana mahu mencuba bidang baharu meskipun sedar cabarannya agak besar kerana saya tiada asas dalam subjek itu sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Kubur, Tembila, di sini, semalam.

Anak kepada pasangan guru itu berkata, pada awal pengajian, dia terpaksa berkorban masa dan tenaga kerana perlu bersaing dengan pelajar lain yang mempunyai asas dalam bidang perakaunan.

“Memang sangat sukar pada mulanya namun saya tetap gigih belajar dan bertanyakan kepada pensyarah jika ada topik yang tidak difahami.

“Niat saya mahu mencapai lebih banyak keputusan cemerlang peringkat negara dan dunia dalam tiga lagi kertas peperiksaan selepas ini seterusnya menyambung pengajian dalam bidang ACCA untuk mencapai impian bergelar akauntan bertauliah satu hari nanti,” katanya yang menerima tajaan Yayasan Terengganu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×