ALOR GAJAH: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka akan mengadakan operasi besar-besaran mengesan majikan yang belum mendaftarkan pekerjanya bermula Julai ini.
Pengarah Perkeso negeri, Abd. Razak Omar berkata, seramai 80 anggota dikerahkan mengesan sekitar 100 syarikat yang masih berdegil tidak mahu mencarum dengan agensi berkenaan.
Katanya, hasil pemerhatian yang dijalankan menganggarkan sebanyak 18 peratus majikan di negeri ini belum berbuat demikian.
“Begitupun, sepanjang tempoh Mei hingga Jun ini, Perkeso melaksanakan bulan pemutihan bagi memberi lebih peluang dan ruang kepada majikan untuk mendaftarkan
pekerja mereka secara sukarela.
“Selepas tamat tempoh bulan pemutihan diadakan, baru kita mengadakan operasi besar-besaran siang dan malam bagi mengesan majikan yang degil dengan tidak mendaftarkan pekerja mereka.
“Kegagalan majikan mencarum untuk pekerjanya adalah satu kesalahan yang boleh didakwa di bawah Seksyen 94 dan sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika ditemui di Kampung Solok Duku, Masjid Tanah di sini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Faedah Pencen Penakat berjumlah RM916.67 kepada Nur Aleeza Othman, 31, isteri kepada Allahyarham Sazali Mohamad, 36, yang maut dalam kemalangan motosikal tiga hari sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri lalu.
Menurut Abd. Razak, setakat ini sebanyak 42,000 majikan melibatkan seramai 320,000 pekerja termasuk pekerja warga asing daripada pelbagai sektor telah mendaftar sebagai pencarum.
Menurutnya, masih ramai majikan tidak mencarum dengan memberi pelbagai alasan seperti pekerja sambilan yang masih belum diserap sebagai pekerja tetap. – UTUSAN











