103,563 hektar tanah terbiar

103,563 hektar tanah terbiar

Kerajaan perlu bertindak bagi memastikan 103.563 hektar tanah terbiar di seluruh negara dapat dimajukan bagi tujuan pertanian. MINGGUAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 103,563 hektar tanah dan melibatkan 46,382 lot di Semenanjung Malaysia termasuk Labuan yang dikenal pasti terbiar perlu dimajukan bagi tujuan pertanian sebagai langkah persediaan menghadapi krisis keselamatan makanan melanda dunia.

Statistik itu berdasarkan rekod Jabatan Pertanian menerusi jawapan bertulis Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Ia sekali gus menyaksikan Pahang muncul negeri tertinggi mempunyai tanah terbiar iaitu seluas 29,391 hektar dengan jumlah 11,292 lot.

Jika semua lot itu diusahakan misalnya sebagai penanaman padi, ia mampu menghasilkan 1.2 juta tan apabila sehektar tanah boleh menghasilkan 12 tan padi.

Malah ia boleh memberi jaminan stok penimbal beras negara apabila Ogos 2020 direkodkan pada paras 221,313 tan metrik atau 88.5 peratus daripada jumlah sasaran iaitu 250,000 tan metrik menjelang 2022 yang ditetapkan kerajaan sekali gus kita tidak perlu mengimport beras.

Tanah terbiar didefinisi sebagai tanah darat atau tanah sawah berkeluasan minimum 0.4 hektar ke atas sama ada bersambungan atau bertaburan yang merupakan tanah milik yang tidak diusahakan selama tiga tahun berturut-turut.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Profesional Tanah Malaysia, Prof. Dr. Ismail Omar berkata, antara punca tanah terbiar adalah undang-undang Kanun Tanah Negara (KTN) yang secara jelas memperuntukkan pihak berkuasa negeri (PBN) mempunyai hak ke atas semua tanah termasuk di dalam sempadan negeri masing-masing.

Selain itu katanya, kekangan lain tanah terbiar sukar dibangunkan adalah syarat tanah, perancangan dan kawalan guna tanah seperti status rizab Melayu dan tanah adat.

Beliau menambah, perkara itu menyukarkan usaha pembangunan tanah terbiar oleh kerajaan Pusat sebagai projek pertanian dan akhirnya menyebabkan lot-lot dibiarkan tanpa dimanfaatkan.

“Malah ada juga pemilik tanah tiada modal dan sukar dapat pinjaman bank dengan adanya pelbagai syarat dikenakan institusi kewangan apatah lagi melibatkan pemilikan tanah rizab Melayu.

“Oleh itu, bagi mengatasi masalah ini perlunya kajian dan pindaan undang-undang khususnya melibatkan tanah adat, wakaf dan tanah rizab Melayu agar kekangan untuk membangunkan tanah terbiar dapat ditangani. Malah perlu pindaan peraturan pinjaman dan insurans serta mengubahsuai sekatan kepentingan dan syarat guna tanah,” katanya.

Ismail yang juga Naib Canselor Universiti Geomatika Malaysia menambah, antara faktor lain punca tanah terbiar adalah kekangan ekonomi, sosio politik, lokasi dan fizikal yang menyebabkannya sukar dibangunkan untuk tujuan pertanian.

Sehubungan itu, beliau berkata,  perlunya diwujudkan satu perancangan ekonomi seperti transformasi dan reformasi tanah pertanian di samping galakan dana dan pendedahan latihan serta pendidikan.

“Malah lokasi di pedalaman menjadikan kos tinggi dan mengakibatkan pemilik sukar dapat buruh. Untuk mengatasi masalah ini perlunya tambah baik prasarana seperti jambatan, tali air, pusat pengumpulan hasil, baja, racun,” katanya.

Dalam masa sama, Pengerusi Pertubuhan Gerak Tani, Datuk Mazlan Aliman berkata, usaha membangunkan tanah terbiar seperti yang kerap diungkapkan selama ini hanya tinggal janji jika proses pelaksanaannya terlalu perlahan dan lebih malang lagi, tiada usaha untuk menggerakkannya.

Justeru, beliau amat mengharapkan Kerajaan Perpaduan mempunyai satu kerangka dasar yang jelas dan insentif yang terarah membangunkan ribuan lot tanah terbiar.

“Kerajaan bertukar tapi malangnya sektor pertanian berada pada takuk lama. Sebagai contoh, sektor padi daripada dahulu hingga kini tiada perubahan. Pesawah akhirnya tinggalkan bendang dan terbiar.

“Kesilapan kita mengabaikan sektor pertanian apabila negara memasuki era industri dan menyebabkan banyak bergantung pada import seperti padi dan sayur-sayuran. Tetapi apabila dunia dilanda krisis sama ada perang dan penyakit, maka keselamatan makanan semakin lemah, menyebabkan bekalan kurang dan input pertanian pula meningkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×