PETALING JAYA: Sekuriti makanan negara boleh terjejas dan terganggu disebabkan fenomena cuaca panas berpanjangan yang turut mengakibatkan penurunan hasil tanaman ruji iaitu padi.
Malah, tanaman lain turut terjejas seperti sayur-sayuran dan tidak terkecuali ternakan seperti ayam penelur yang akan menjadi kurang produktif menghasilkan telur.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah kanan, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Muhammad Firdaus Sulaiman berkata, fenomena ini boleh menyebabkan kekurangan air dalam tanah yang banyak iaitu kehilangan satu sumber penting yang diperlukan oleh tanaman dan ternakan.
Malah, jelasnya, kehilangan air dari tanah secara semula jadi juga akan berlaku dengan lebih pantas berbanding penerimaan air melalui hujan atau pengairan manual.
“Perkara yang dibimbangkan adalah bekalan air bagi mengairi kawasan jelapang padi akan terjejas serta empangan yang mengairi jelapang padi di Kedah misalnya, turut membekalkan air bagi kegunaan domestik di Negeri Kedah. Sekiranya paras air empangan susut, catuan air mungkin dikenakan bagi pengairan kawasan padi.
“Padi merupakan tanaman yang sensitif terhadap kekurangan air, jadi kalau bekalan air kepada sawah terjejas, penurunan hasil padi akan berlaku.
“Suhu yang tinggi ditambah dengan kurang bekalan air akan mengakibatkan pertumbuhan pokok padi terbantut seterusnya menjejaskan pengeluaran padi,” katanya.
Fenomena El Nino sedang dialami Malaysia yang menyebabkan hujan berkurangan, sekali gus berisiko mengakibatkan paras air sungai merosot dan empangan menjadi kering, dijangka berlarutan hingga September depan.
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan negara berdepan El Nino selama lima bulan bermula April.
Tambah Muhammad Firdaus, air dalam tanah penting untuk proses fisiologi tanaman berlaku secara normal kerana kekurangan air dalam tanah akan merencatkan proses fisiologi tanaman seterusnya menjejaskan pertumbuhan dan pengeluaran hasil.
“Ketahanan tanaman terhadap suhu panas berbeza mengikut jenis tanaman di mana terdapat tanaman yang lebih sensitif terhadap suhu panas yang berpanjangan seperti sayur berdaun lebar berbanding tanaman kontan lain seperti jagung,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Firdaus berkata, sekiranya sekuriti makanan terjejas, kerajaan sudah melaksanakan inisiatif mewujudkan stok penimbal beras bermula dari tahun 2008 melalui pelaksanaan Dasar Jaminan Bekalan Makanan untuk menjamin bekalan beras dalam negara.
“Stok penimbal beras ini dapat menampung kekurangan bekalan yang mungkin wujud akibat penghasilan padi yang terkesan akibat cuaca panas berpanjangan.
“Bagaimanapun, stok penimbal yang diwujudkan kerajaan hanya terdapat bagi makanan ruji iaitu beras, jadi pengguna akan terkesan dengan kekurangan bekalan dan kenaikan harga bagi bahan mentah lain seperti sayuran dan ayam,” ujarnya. – UTUSAN











