OPR di paras normal, pernah lebih tinggi

OPR di paras normal, pernah lebih tinggi

NURADLI RIDZWAN SHAH MOHD. DALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang di­naik­kan sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus masih di paras normal dan merupakan kadar sebelum berlakunya pandemik Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah kanan di Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, Malaysia pernah mencapai ke paras 3.50 peratus pada tahun 2008.

Namun kata beliau, individu yang meminjam daripada bank dan menggunakan kadar faedah berubah (floating inte­rest rate) paling terkesan dan akan dapat melihat perbezaan dalam pembayaran ansuran bulanan mereka.

MENINGKAT

“Tidak kira pinjaman rumah mahupun pinjaman peribadi, kadar faedah akan meningkat, tetapi, bagi individu yang mengambil pinjaman dengan kadar faedah tetap, tiada perbezaan.

“Bagi individu yang pernah mengambil moratorium juga akan dapat melihat perbezaan dalam pembayaran semula ansuran bulanan, sekiranya diambil lebih dari sekali, nilai­nya akan menjadi lebih tinggi.

“Masyarakat yang belum membeli rumah dan bercadang untuk membelinya dalam masa terdekat juga akan terasa impaknya kerana ansuran bulanan akan lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk menaik­kan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus.

Ia merupakan kenaikan kali kelima bermula Mei, Julai, September dan November tahun lalu sebelum dikekalkan kepada 2.75 peratus pada mesyuarat pertama 2023 MPC Januari lalu dan sekali lagi pada Mac lalu.

Nuradli Ridzwan Shah berkata, ramai peminjam bank akan berdepan tunggakan pinjaman yang panjang dan mungkin akan ada yang diisytiharkan muflis berikutan kenaikan OPR itu.

Katanya, walaupun nampak membebankan, langkah BNM menaikkan OPR untuk jangka panjang adalah untuk mengurangkan kuasa beli serta mengawal kadar inflasi.

“Kadar inflasi kita yang berada pada paras 3.4 peratus dikira baik berbanding keba­nyakan negara dan ekonomi negara juga semakin pulih.

“OPR ini sudah lama berada di paras ini tetapi masyarakat baru lebih cakna terhadap pengetahuan kewangan dan ini merupakan satu petanda yang baik,’’ ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×