PETALING JAYA: Pakar kesihatan menasihatkan orang ramai supaya minum lapan gelas air kosong sehari bagi meningkatkan hidrasi dalam badan dan mengelakkan serangan strok haba.
Orang ramai turut dinasihatkan mengamalkan langkah kendiri seperti berada dalam rumah, elak aktiviti luar, memakai baju cerah dan nipis serta memakai topi untuk mengelakkan pancaran cahaya secara terus.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr. Siti Aisah Mokhtar berkata, langkah-langkah tersebut perlu diutamakan memandangkan strok haba menyerang apabila individu mengalami dehidrasi iaitu tidak mempunyai air yang cukup dalam badan.
“Saya mengesyorkan minum air lapan gelas air sehari atau dua liter tanpa mengira haus atau tidak bagi mengelakkan terkena keletihan haba iaitu keadaan sebelum diserang strok haba.
“Ini terutama bagi kumpulan yang mudah terkena serangan tersebut seperti kanak-kanak dan warga emas. Mereka perlu mengamalkan pengambilan air seperti tersebut selain keluar memakai payung, topi dan sebagainya untuk melindung diri dari terkena cahaya matahari secara terus,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Malaysia diramal berdepan cuaca panas dan kering dengan suhunya melebihi 40 darjah Celsius sehingga Jun ini yang turut merisikokan kebakaran hutan serta jerebu merentas sempadan.
Dr. Siti Aisah berkata, langkah-langkah awal boleh diambil sekiranya seseorang itu sedang berhadapan keletihan haba.
“Apabila terjadi yang utama kita akan rasa dehidrasi, keluar peluh berlebihan, kulit menjadi merah dan panas, itu menandakan badan kita kekurangan air serta elektrolit.
Jika berhadapan dengan gejala sebegitu, cepat-cepat sejukkan badan, berteduh dan minum air.
“Jika tiada tindakan diambil daripada keletihan haba itulah yang akhirnya menyebabkan diserang strok haba,” katanya.
Tambahnya, ibu bapa perlu memahami langkah-langkah perlu diambil dan gejala yang dihadapi oleh anak-anak mereka, memandangkan mereka tidak mampu mengenal pasti keadaan keletihan haba. – UTUSAN










