T20 tolak tawaran haji? - Utusan Malaysia

T20 tolak tawaran haji?

TABUNG HAJI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terdapat calon jemaah haji dalam kumpulan T20 didakwa menolak tawaran menunaikan ibadah itu bagi musim 1444 Hijrah tahun ini dengan alasan kurang mampu kerana tidak menerima subsidi.

Mereka bertindak demi­kian kerana dikatakan terpaksa mem­bayar kos penuh sedang­kan golongan M40 dan B40 menikmati subsidi.

Bagi yang menerima tawaran pula dikatakan telah mendesak syarikat pengendali haji (PJH) supaya menyediakan lebih banyak keistimewaan berban­ding pakej ditawarkan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham tidak menolak perkara itu berlaku kerana mungkin ramai kalangan T20 tidak cukup simpanan kerana mereka juga terpaksa bergelut dengan ketidaktentuan ekonomi ketika ini.

“Tengok zahir mereka yang T20 itu memang mewah, tetapi tidak semestinya mereka mewah sentiasa. Komitmen mereka ketika ini semakin tinggi kesan ekonomi tidak bagus. Selain itu mereka tentu terfikir apabila sudah penuhkan simpanan RM10,000, tetapi tiba-tiba naik tiga kali ganda, macam mana mahu pergi?” Soalnya ketika dihubungi semalam.

Sebagai rekod, kuota ibadah haji bagi Malaysia tahun adalah sebanyak 31,600 jemaah dengan penerbangan pertama ke Mekah dijadualkan pada 21 Mei ini. Sebarang jumlah tambahan kuota haji hanya akan diketahui sebelum tarikh itu.

SURAT TAWARAN

Setakat ini, Tabung Haji belum mengeluarkan jumlah yang surat tawaran menunaikan haji yang sudah dihantar kerana ia dilakukan secara berperingkat sejak 22 Mac lalu, termasuk mengikut pe­cahan pendapatan.

Berhubung dakwaan jemaah T20 sedang melakukan protes, Utusan Malaysia sudah menghubungi Tabung Haji namun sehingga petang semalam belum mendapat reaksi.

Mengulas lanjut, Razali turut mempersoalkan pemecahan jemaah haji mengikut kumpulan pendapatan itu kerana berpendapat Tabung Haji perlu membantu setiap orang dalam menunaikan ibadah itu.

Kata beliau, ibadah haji mengajar umatnya untuk memahami semua manusia adalah sama rata, tetapi mengapa di Malaysia ia perlu diasingkan.

Katanya, berdasarkan kepada keuntungan yang dicatatkanoleh Tabung Haji pada tahun lalu, ia sepatutnya mampu menampung kos subsidi untuk setiap jemaha tanpa ada yang dipisahkan mengikut kumpulan pendapatan.

“Mengikut laporan media, keuntungan RM3.8 bilion atau RM3.6 bilion, kalau ambil kira cukai keuntungan 2.6 peratus, jumlahnya dalam RM950 juta.

“Kalau kos satu jemaah kena tampung RM20,000, maka mereka boleh bantu sehingga 40,000 jemaah,” katanya.

MENOLAK

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia), Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, kumpulan T20 yang menolak tawaran menunaikan ibadah haji boleh disifatkan mengingkari perintah Allah.

Menurut beliau, ini kerana golongan berpendapatan tinggi itu sudah tentu melebihi syarat cukup, maka tidak sepatutnya mereka menolak tawaran ber­kenaan.

“Kalau tolak, maka jika mahu tunggu kuota kali kedua amat sukar, malah umur juga mungkin sudah meningkat.

“Sepatutnya jangan tolak sebab orang yang nak pergi haji lebih dua juta, tetapi yang dapat cuma 31,600 sahaja,” katanya.
Bagaimanapun, beliau ber­kata, pihaknya menyokong sekiranya kumpulan berpendapatan tinggi itu menolak tawaran daripada Tabung Haji kerana memilih pakej swasta yang lebih banyak keistimewaannya.

“Bagi kami yang meniaga ini, langkah itu memang menyenangkan sebab dapat buat keuntungan untuk jalan Allah. Pada masa sama, tempat kosong mereka juga boleh diisi oleh orang lain yang kurang berkemampuan.

“Lagi pula, kita tahu pergi dengan pakej swasta ini banyak keistimewaannya. Hotel dijamin dekat berbanding Tabung Haji yang jaraknya antara 700 meter hingga satu kilometer dengan masjid.

“Selain itu, bimbingan guru agama juga lebih ramai daripada pergi dengan jemaah muassasah. Semua pakej itu mencari jalan memberi keseronokan supaya jemaah berpuas hati dengan perkhidmatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×