KUALA LUMPUR: Gaji rendah sebagai anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikenal pasti sebagai punca kaum bukan bumiputera tidak berminat untuk menyertainya.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab. Rahman berkata, jumlah kemasukan kaum bukan bumiputera yang sedikit ini juga tidak berkaitan dengan isu kuota yang ditetapkan ATM.
Tegas Mohammad, pihak ATM tidak pernah menetapkan sebarang kuota bagi mana-mana bangsa dan sentiasa mengalu-alukan penyertaan semua kaum di Malaysia untuk berkhidmat dengan mereka.
“Saya percaya yang menjadi punca (kurang penyertaan kaum bukan bumiputera), mungkin adalah faktor kewangan. Kalau kita tengok pada agensi-agensi lain juga, penyertaan kaum lain selain bumiputera memang tidak banyak.
“Selain itu, untuk menyertai ATM juga memerlukan hati yang cekal. Anggota ATM terikat dengan peraturan-peraturan tentera yang mungkin tidak mendatangkan minat dari kaum-kaum lain.
“Tidak seperti di luar sana, semua individu bebas untuk buat apa sahaja dan jika dengan ATM, kita ada peraturan tersendiri. Bagaimanapun, tidaklah itu membebankan, ramai yang sertai ATM baik-baik saja,” katanya dalam sidang akhbar di Kem Perdana Sungai Besi, di sini semalam.
Terdahulu, Mohammad menyempurnakan Perbarisan Perutusan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat ke-29 bertempat di Dataran Panglima Tentera Darat.
Seramai 53 pegawai dan 1,553 anggota Lain-Lain Pangkat (LIP) terlibat dalam perbarisan ini dengan diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke-9 Reiimen Askar Melayu Diraja (Para), Leftenan Kolonel Mohd. Farid Abd. Hamid.
Sementara itu, Mohammad Ab. Rahman menegaskan, penggunaan sistem teknologi canggih dan terkini bagi Tentera Darat Malaysia (TDM) mampu mengatasi risiko pencerobohan sempadan yang berlaku di beberapa kawasan dalam negara.
“Kita mempunyai persempadanan di daratan dan lautan yang sangat luas. Mustahil kita dapat letakkan anggota kita di sepanjang titik sempadan ini. Yang lebih penting, kita tumpukan pada maklumat pasukan khas (intelligence) kita mengenai kawasan tumpuan.
“Namun, kita juga berharap, kerapuhan ini dapat dikekang dengan teknologi terkini. Kita lihat, pada masa kini ada peralatan yang boleh bantu kita dalam melaksana operasi bagi mencegah kemasukan anasir-anasir yang tidak diingini,” katanya. – UTUSAN











