Pakatan Harapan (PH) Terengganu dikatakan bakal bertanding di 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Kesemua kerusi yang ditandingi PH yang melibatkan gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) merupakan kawasan yang dimenangi Pas pada Pilihan Raya Umum (PRU14) lalu.
Difahamkan antara kerusi DUN yang bakal ditandingi PH adalah Cukai, Kemasik, Sura, Rantau Abang, Rhu Rendang, Alor Limbat, Bandar, Batu Buruk, Manir, Buluh Gading, Kota Putera dan Jabi.
Sementara itu, Barisan Nasional (BN) pula akan bertanding di 20 DUN termasuk 10 kerusi yang dimenangi pada PRU14 lalu.

Sebanyak 10 kerusi yang dimenangi BN itu Kuala Besut, Jertih, Hulu Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemung, Bukit Besi, dan Kijal.
Kawasan lain yang dijangka ditandingi BN adalah Bukit Tunggal, Bukit Payung, Ladang, Wakaf Mempelam, Tepuh, Paka, Pengkalan Berangan, Air Putih, Ajil dan Kuala Berang.
Bagaimanapun, peluang PH menang kerusi yang bakal ditandingi itu agak sukar kerana ia adalah kubu Pas termasuk di kerusi Rhu Rendang yang disandang Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Namun, difahamkan BN Terengganu mahu bertanding melebihi 20 kerusi kerana menganggap parti itu ada lebih ramai ahli dan memiliki jentera pilihan raya yang lebih kuat.
Setakat ini, PH dan BN masih dalam peringkat awal berhubung rundingan agihan kerusi sebagai persiapan menghadapi PRN ini.
Dalam pada itu, Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Said dilaporkan berkata, pengagihan kerusi antara BN dan PH bagi PRN negeri ini belum dimuktamadkan.
Ahmad berkata, perbincangan antara pemimpin kedua-dua parti termasuk jumlah kerusi yang akan diserahkan kepada PH masih berlangsung.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kelantan dan Terengganu, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, BN Terengganu dijangka bertanding lebih banyak kerusi dalam PRN tidak lama lagi. – UTUSAN










