Lambakan produk kesihatan beracun - Utusan Malaysia

Lambakan produk kesihatan beracun

RAMPASAN membabitkan produk kesihatan dan kecantikan yang tidak berdaftar dan beracun sering dilakukan oleh Kementerian Kesihatan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rakyat terdedah dengan lambakan produk kesihatan dan kosmetik beracun apabila Kementerian Kesihatan (KKM) merampas 136,518 pelbagai pil dan krim yang mengan­dungi barang terlarang boleh memudaratkan pengguna.

Produk yang dirampas da­lam tempoh 2018 hingga Februari lalu meliputi 47,466 barangan kesihatan manakala 89,052 lagi barang kosmetik yang ke­­semuanya bernilai RM3.84 juta.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Norhaliza A. Halim berkata, daripada rampasan tersebut, produk perangsang seks mengandungi racun berjadual Sildenafil/Tadalafil paling banyak disita.

Menurut beliau, produk kosmetik berkaitan barang pencerah kulit yang mengandungi Mercury/Hydroquinone/Tretinoin pula merupakan kedua tertinggi dirampas.

“Penggunaan tinggi pelbagai pil pelangsing yang mengan­dungi Sibutramine juga banyak dikesan ketika tindakan pe­nguatkuasaan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi bersama cawangan penguatkuasaan farmasi negeri.

“Kebanyakan rampasan di­buat melibatkan penggunaan produk kesihatan tidak berdaftar, produk kosmetik tidak bernotifikasi dan produk-produk yang dikesan mengandungi bahan terlarang (campur palsu),” kata beliau.

KOSMETIK

Norhaliza berkata, tindakan penguatkuasaan ke atas produk kesihatan dan kosmetik dilakukan selepas Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) turut menerima laporan kesan advers daripada pengguna yang menggunakan produk-produk tersebut.

Kata beliau, antara bahan terlarang yang banyak dikesan dalam produk kesihatan se­perti dexamethasone, chlorpheniramine dan sibutramine yang berisiko merosotkan fungsi buah pinggang, fungsi hati dan gangguan pada fungsi kelenjar adrenal.

Beliau berkata, hydroquinone, tretinoin, betamethasone 17- valerate dan merkuri adalah bahan terlarang yang kebanyakan dikesan dalam produk kosmetik tidak bernotifikasi sekali gus boleh memudaratkan kesihatan.

“Penggunaan produk kos­metik yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan.

“Ia seperti Hydroquinone menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan meningkatkan risiko kanser kulit.

“Tretinoin boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari,” katanya.

SISTEM SARAF

Selain itu, kata Norhaliza, merkuri boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Pada masa sama, ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan termasuk menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

Dalam pada itu, beliau menggesa setiap pengeluar produk bertanggungjawab da­lam penghasilan dan pemasaran produk tanpa meraih keuntungan semata-mata.

Katanya, pengeluar dan pengedar produk perlu memastikan produk tersebut didaftar atau dinotifikasi sebelum diedarkan kepada pengguna termasuk memastikan tiada bahan terlarang di dalam produk-produk tersebut dan mesti mematuhi Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Pada masa sama, pengguna pula perlu meneliti setiap produk kesihatan dan kosmetik yang mahu digunakan dengan mendapatkan maklumat asas tentang kandungan atau bahan digunakan dalam penghasilan produk selain proses penyedia­an bagus dan berkualiti.

“Mereka boleh menyemak status pendaftaran produk dan notifikasi kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA iaitu www.npra.gov.my.

“Sebarang aduan boleh dikemukakan menerusi [email protected] (bagi kosmetik bernotifikasi) atau ke portal rasmi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA) https://moh.spab.gov.my/eApps/system/index.do untuk tindakan selanjutnya,” katnaya.

Bagi pengguna yang ingin membuat pelaporan kesan advers yang disyaki diakibatkan oleh penggunaan ubat sebegini, laporan boleh dibuat dengan mengisi borang pelaporan untuk pengguna, iaitu Consumer Side Effect Reporting Form (ConSERF) yang boleh diakses di laman sesawang NPRA www.npra.gov.my. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×