PUTRAJAYA: Individu yang pernah dijangkiti Covid-19 tidak terkecuali mendapat suntikan vaksin dalam Pelan Pelaksanaan Imunisasi Vaksin Covid-19 Kebangsaan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, keutamaan kerajaan memastikan semua rakyat dewasa mendapat perlindungan daripada jangkitan wabak itu termasuk golongan berkenaan.
Katanya, kumpulan itu akan diberi suntikan dalam fasa ketiga selepas barisan hadapan meliputi 500,000 orang dan kumpulan berisiko tinggi meliputi kira-kira 9.4 juta penduduk.
“Mereka yang telah dijangkiti Covid-19 ini kita akan beri vaksin juga, mereka tidak dikecualikan sebab kita tak pasti berapa banyak imuniti dibangunkan dalam badan selepas mereka dijangkiti.
“Namun, kita utamakan pemberian vaksin ini kepada mereka yang tidak pernah dijangkiti dahulu memandangkan ketersediaan vaksin yang diterima negara amat terhad dan berperingkat,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Dr. Adham, barisan hadapan yang tidak tersenarai dalam fasa pertama, mereka tetap menerima vaksin dalam tempoh pelaksanaan hingga hujung tahun ini yang dijangka boleh diselesaikan keseluruhan 70 peratus atau 23.6 juta orang.
Katanya, fasa pertama pelaksanaan yang bermula 26 Februari ini tidak melibatkan semua kakitangan Kementerian Kesihatan kerana keutamaan diberikan kepada mereka yang merawat pesakit atau mengawal orang ramai termasuk yang bekerja di makmal kerana risiko jangkitan ketika mengendalikan spesimen uji kaji virus.
Beliau berkata, kumpulan bersasar yang ditetapkan Kementerian Kesihatan mengikut keutamaan fasa itu perlu diikuti secara tegas dan pihaknya akan memastikan tidak ada sesiapa boleh ‘memotong barisan’. – UTUSAN











