Makna bahagia sambut lebaran - Utusan Malaysia

Makna bahagia sambut lebaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTIMEWA sampul hadapan Pancaindera kali ini. Dua ikon seni suara diabadikan, menjadi penyeri muka depan sempena Syawal ini. Ziana Zain dan Ernie Zakri. Nama besar yang memiliki pertalian darah, digandingkan. 

Menyatukan dua vokalis tersohor dalam satu sesi fotografi bukan kerja mudah. Apatah lagi, masing-masing terikat dengan jadual kerja yang kurang mengizinkan. Namun, segalanya dipermudah Tuhan. 

Ziana dan Ernie memberi kerjasama penuh, mempesona dalam persalinan ciptaan Rizman Ruzaini. Sesi fotografi berjalan singkat, Tetapi meriah. Masing-masing saling berbagi cerita. 

Kisah bahagia di Aidilfitri. 

Bagi Ziana, lebaran kali ini, seperti tahun-tahun sudah. Tetap meriah. apatah lagi kini, penyanyi bersuara lantang ini dan anak-anaknya tinggal bersama orang tua dan adik beradik lain di Shah Alam. 

“Nikmatnya, dapat tatap wajah kesayangan setiap hari. Ibarat waktu muda-muda dahulu. 

“Tapi, sejak bergelar penyanyi, saya tak rasa sangat momen berhari raya itu. Sebab sibuk layan tetamu yang datang ke rumah. Sanak saudara terutamanya yang berkunjung dari pukul 10 pagi sampai 2 pagi. 

“Rumah bapa jadi tumpuan di Hari Raya pertama. Hari Raya kedua barulah kami pulang ke kampung,” kongsinya. 

Bagi Ernie pula, lebih istimewa lebaran kali ini apabila disambut dengan permata hati, Nur Khawla Soleha, cahaya mata sulung hasil perkongsian hidup dengan penyanyi, Syamel. 

“Kalau boleh, setiap hari pada bulan ini saya nak bawa Khawla ke rumah terbuka. Bagi dia rasa suasana raya. 

“Kalau dulu, Hari Raya dengan suami. Sekarang fokus terarah kepada Khawla. Inilah masanya saya bawa dia jumpa kawan-kawan saya,” jelasnya.

Fokus masa depan anak

“TENANG, tak ada masalah, hati tak berat.” 

Itu respons diberikan tatkala penulis tanyakan kepada diva tersohor ini tentang kebahagiaan. 

Jelas, Ziana Zain lebih gembira, meskipun tanpa lelaki di sisi menjadi peneman hidup. 

“Yang membahagiakan adalah anak-anak. Saya mahu pendidikan mereka cukup, bantu mereka bina masa depan. Itu menggembirakan saya buat masa ini. 

“Selain itu, sekarang saya banyak masa untuk diri sendiri dan kawan-kawan. Itu juga membahagiakan saya. Hati dan fikiran saya lapang. Alhamdulillah. 

“Pendek kata, saya sangat bahagia sekarang. Allah sebaik-baik perancang. Saya cuma minta yang baik-baik sahaja,” katanya. 

Kata Ziana lagi, dia bersyukur kerana diberi kekuatan untuk menentukan kebahagiaan sendiri. 

“Sebenarnya, bergantung kepada diri kita macam mana hendak dapat kebahagiaan itu. Kita yang tentukan. 

“Alhamdulillah untuk hidup saya sekarang. Saya cuma mahu fokus besarkan anak-anak. Kerja bersungguh-sungguh untuk masa depan mereka,” jelasnya.

Gembira dengan sambutan Jemput Raya

LAGU Jemput Raya adalah buah tangan istimewa Ernie Zakri sempena Syawal. Kegembiraan penyanyi bersuara merdu pada lebaran ini bertambah apabila lagu tersebut diterima baik sehingga merekodkan 93,000 jumlah tontonan di Youtube. 

“Itu adalah satu pencapaian. Membuat sambutan Aidil tri saya lebih istimewa. Penyanyi mana tak gembira apabila lagu Hari Raya mereka dapat sambutan. 

“Saya pada awal memang mahu keluarkan lebih awal lagu ini. Tetapi disebabkan masalah teknikal ia terpaksa dikeluarkan sedikit lewat. 

“Tetapi saya gembira sebab orang bercakap tentang lagu ini. Ia hadiah istimewa lebaran ini,” komennya. 

Dalam pada itu, penulis bertanyakan tentang reaksi peminat, yang membanding-bandingkan lagu tersebut dengan lagu raya penyanyi lain. Situasi itu mencetuskan perbalahan dalam kalangan peminat. 

“Peminat ada pilihan masing-masing. Tak semua, tapi ramai yang terbuka dan lantang melontar pandangan di media sosial. Ada yang sokong karya artis, ada yang tidak. 

“Perbandingan adalah lumrah yang penyanyi kena hadap. Kena terbuka dan terima. 

“Tapi janganlah sampai situasi ini menggambarkan saya dan penyanyi lain, contohnya Aina Abdul, bermasam muka. Kami ada hubungan yang sangat baik. Saya tak mahu orang ingat kami bergaduh disebabkan peminat kami tidak sependapat,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×