Hutang GST RM2.1 bilion - Utusan Malaysia

Hutang GST RM2.1 bilion

, Ketua Pengarah Ja­batan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Zazuli Johan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 26,000 syarikat dan entiti perniagaan belum melangsaikan tunggakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang semuanya berjumlah hampir RM2.1 bilion walaupun cukai tersebut sudah dimansuhkan sejak 2018.

Bercakap kepada Utusan Ma­­laysia, Ketua Pengarah Ja­batan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Zazuli Johan berkata, pihaknya tidak pernah berdiam diri terhadap ‘kedegilan’ syarikat tersebut malah pelbagai pendekatan dan tindakan dilakukan bagi mendapatkan hasil negara itu.

Menurut beliau, jumlah tunggakan RM2.1 bilion itu termasuk penalti yang dikenakan terhadap semua syarikat dan entiti perniagaan yang lewat membuat pembayaran cukai GST yang dilaksanakan pada tahun 2015.

“Kita juga telah mengambil tindakan penguatkuasaan melalui pendakwaan di mah­kmah selain menyekat perjalanan ke luar negara pemilik syarikat yang gagal menyelesaikan tunggakan cukai tersebut.

“Pada tahun lalu, kita mendapati lebih 10,000 entiti perniagaan telah membuat penyelesaian bayaran tunggakan cukai GST termasuk nilai pe­nalti berjumlah RM800 juta,” kata beliau baru-baru ini.

TAMPIL

Dalam pada itu, Zazuli berkata, JKDM juga mengambil pendekatan menggalakkan syarikat-syarikat terbabit tampil secara sukarela’ melalui khidmat nasihat dan program-program dianjurkan untuk mengutip tunggakan itu.

“Ini dapat membantu syarikat terbabit bagi mengurus serta meningkatkan tahap pematuhan selain mengelakkan berlakunya tunggakan cukai pada masa akan datang,” kata beliau.

Selain itu, Zazuli berkata, JKDM turut memperkenalkan Program Pengurangan Remisi dan Surcaj di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 (ACBP 2014), Akta Cukai Jualan 2018, Akta Cukai Perkhidmatan 2018, Akta Cukai Pelancongan 2017 dan Akta Levi Pelepasan 2019 bagi membantu industri yang terkesan dengan situasi ekonomi semasa.

Kata beliau, program ini memberi pengurangan penal­ti atau surcaj sehingga 100 peratus tertakluk kepada syarat-syarat ditetapkan bermula 1 Februari lalu sehingga 30 September depan.

“Individu dan sya­rikat yang sudah disenarai hitam digalakkan menyemak status perjalanan terlebih awal melalui https://sspi.imi.gov.my/sspi/ untuk menge­tahui status sekatan perjalanan yang dikenakan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Zazuli, pihaknya turut memper­kenalkan Program Pelepasan Sementara untuk sekatan perjalanan ke luar negara bagi tahun ini bagi syarikat yang telah disenaraihitamkan namun berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

“Ini juga bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil ke atas mereka selain memastikan syarikat terbabit tampil membayar tunggakan cukai GST dan penalti

“Sehubungan itu, syarikat yang terlibat perlu tampil ke pejabat JKDM yang berhampiran bagi menikmati program pengurangan penalti dan surcaj yang ditawarkan,” katanya.

Pada 24 Februari lalu, Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pentadbirannya tidak bercadang untuk me­laksanakan kembali GST yang diperkenalkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Anwar berkata, dalam keada­an rakyat ma­sih susah, inflasi makanan me­le­bihi lima peratus dan kadar upah yang masih rendah, ketika ini bukanlah ruang dan masa yang sesuai untuk memper­kenalkan dan me­­lak­sanakan GST. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×