PETALING JAYA: Inflasi Malaysia mereda kepada 3.4 peratus seperti dicatat di Indeks Harga Pengguna (IHP) negara pada Mac lepas, dengan ini juga mata indeks mencatatkan 129.9 berbanding pada bulan sama tahun lalu iaitu 125.6.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan perlahan inflasi itu juga didorong terutama oleh penurunan harga petrol tanpa plumbum RON97 yang meredakan inflasi kumpulan pengangkutan kepada 2.4 peratus.
Menurut beliau, ia dilihat selari dengan harga minyak mentah Brent yang berada pada paras $AS78.53 setong pada bulan Mac berbanding bulan sama tahun lalu ia pada $AS115.59.
“Namun begitu, inflasi bagi makanan dan minuman bukan alkohol adalah pada 6.9 peratus, restoran serta hotel pula 7.2 peratus masih kekal tinggi meskipun ianya lebih rendah berbanding Februari 2023.
“Kesemua subkumpulan bahan keperluan tersebut mencatatkan peningkatan antara 0.1 peratus hingga 9.2 peratus. Subkumpulan daging pula mencatatkan peningkatan 9.2 peratus, ini diikuti oleh Susu, keju & telur pada 7.1 peratus.
“Beras, roti dan bijirin lain pula 6.9 peratus, buah-buahan 5.5 peratus dan Gula, jem, madu, coklat serta manisan pada 3.8 peratus.
“Ikan dan makanan laut serta sayur-sayuran masing-masing meningkat 3.4 peratus. Manakala subkumpulan minyak dan lemak menyederhana kepada 0.1 peratus,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Mohd. Uzir berkata, inflasi bagi suku tahun pertama ini meningkat 3.6 peratus berbanding suku tahun sama pada 2022 dan IHP pula meningkat 0.6 peratus berbanding suku tahun keempat tahun lepas.
“Secara bulanan inflasi meningkat 0.1 peratus pada Mac berbanding Februari pada 0.2 peratus. Sementara itu, inflasi teras mengukur perubahan harga barang dan perkhidmatan yang tidak termasuk item makanan segar tidak menentu dari segi harga serta barang dan perkhidmatan tertakluk dengan kawalan harga dari kerajaan masih kekal tinggi pada kadar 3.8 peratus berbanding bulan sebelum 3.9 peratus,” katanya.
Tambahnya, bagi Mac terdapat 10 negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional iaitu 3.4 peratus.
“Kedah merekodkan peningkatan paling rendah iaitu sebanyak 2.1 peratus. Manakala, hanya enam negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi iaitu Wilayah Persekutuan (4.5 peratus), Selangor (4.0 peratus), Sarawak (3.8 peratus), Johor (3.7 peratus), Pahang (3.7 peratus) dan Perak (3.6 peratus),” jelasnya. – UTUSAN










