Kos urus banduan RM109 juta sebulan

Kos urus banduan RM109 juta sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dianggarkan RM109 juta dibelanjakan kerajaan dalam sebulan untuk menampung kos pengurusan keseluruhan banduan yang menghuni 47 penjara seluruh negara.

Ia melibatkan perbelanjaan RM50 sehari bagi seorang banduan atau RM3.6 juta sehari untuk jumlah 72,787 banduan merangkumi kos penyediaan peralatan, kemudahan, perubatan, makanan, kawalan keselamatan, pengiringan, emolumen kakitangan dan perkara lain berkaitan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan, bebanan kewangan dan masalah kesesakan banduan hanya boleh ditangani jika kerajaan melakukan reformasi institusi penjara dan pindaan undang-undang iaitu langkah mengelakkan terus tertuduh daripada dihantar ke penjara selepas didapati bersalah oleh mahkamah.

Beliau menjelaskan, antara salah satu usaha berkenaan adalah menambah baik sistem parol (melayakkan banduan menjalankan baki hukuman di luar penjara) dengan diperluaskan mekanisme itu kepada kesalahan jenayah lain dan membenarkan banduan keluar penjara lebih awal dan kembali hidup dalam masyarakat.

Katanya, seperti amalan United Kingdom (UK), terdapat 25,000 banduan berada dalam masyarakat dengan mereka tidak ditempatkan dalam penjara, sebaliknya kembali hidup di luar dan diberikan peluang pekerjaan dengan pemantauan pihak berkuasa.

“Sistem parol Malaysia antara terbaik di dunia, malangnya kita hanya tertumpu kesalahan dan tempoh tertentu. Perkara ini hendaklah diperluas bagi mengurangkan beban kewangan penjara dan kesesakan banduan. Ini sejajar konsep ‘memasyarakatkan banduan’ dengan menerima semula mereka agar diberikan peluang kedua untuk bekerja, pendidikan dan latihan.

“Perkara ini sekali gus berupaya mengurangkan kos dan kesesakan banduan. Selain itu, masyarakat mesti menerima banduan dan beri peluang kedua semula kerana kita tanpa sedar selama ini memandangkan serong, akhirnya banduan terpaksa melakukan jenayah kerana mungkin terpaksa dan kesempitan kehidupan serta dianaktirikan komuniti sendiri,” katanya.

Akhbar ini pada minggu lalu melaporkan kesesakan di 46 penjara dan pusat koreksional seluruh negara iaitu mencecah lebih 72,787 penghuni iaitu melebihi kapasiti asal sebanyak 62,000 banduan menghuni penjara utama, Penjara Satelit, Penjara Transit dan Pusat Transit Penerimaan.

Daripada jumlah tersebut, seramai 68,823 orang banduan lelaki dan seramai 3,964 orang banduan wanita. Manakala pecahan mengikut kewarganegaraan terdapat seramai 59,709 warga Malaysia manakala seramai 13,078 orang lagi, bukan warganegara.

Selain itu, kata Wan Junaidi, sudah tibanya sistem undang-undang perlu ditambahbaik dengan melakukan pindaan agar akta-akta sedia ada dapat mempertimbangkan hukuman lebih ringan seperti denda dan kerja komuniti berbanding hukuman pemenjaraan.

Jelas beliau, kadang-kala hakim bicara tiada pilihan menetapkan penjara kerana keterbatasan undang-undang yang menghadkan hukuman itu sahaja tanpa alternatif lain.

“Misalnya mengambil dadah, kita tidak boleh lihat ia sebagai satu kesalahan dan wajar letakkannya sebagai masalah kesihatan. Daripada hantar ke penjara, adalah lebih baik kita hantar mereka menjalani pemulihan,” jelasnya.

Beliau menegaskan langkah reformasi penjara tidak boleh dibebankan kepada Kementerian Dalam Negeri dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri semata-mata, sebaliknya semua kementerian dan agensi kerajaan perlu melihat perkara itu secara holistik dan bersama.

“Lagi banyak banduan dihantar ke penjara, lagi banyak kewangan terpaksa ditanggung kerajaan. Jadi kita terlebih dahulu kena perbaiki sistem rehabilitasi banduan dengan melihat segala aspek termasuk terima kembali semula dalam masyarakat.

“Pokok pangkal semuanya berbalik kepada masyarakat itu sendiri, adakah kita bersedia terima banduan semula tanpa persepsi tidak baik kepada mereka,” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×