Puasa sebulan, sambut raya pun perlu sebulan juga?

Puasa sebulan, sambut raya pun perlu sebulan juga?

SETAHU penulis, dahulu pesta beraya sebulan hanya berlaku di Brunei tetapi sejak beberapa dekad lalu, budaya sedemikian mula disambut di negara kita. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK dahulu hingga kini, bila solat Jumaat pertama di bulan Ramadan, maka pada khutbahnya dibacakan surah al-Baqarah ayat 183 hingga 187. Atau sekurang-kurangnya ayat 183 dan 184. Ayat yang mewajibkan umat Islam berpuasa di bulan Ramadan dan diberikan kelonggaran kepada mereka yang sakit atau mereka dalam perjalanan.

Puasa adalah salah satu ibadah yang wajib ke atas orang Islam dalam kategori tertentu. Begitupun, Tuhan yang Maha Agung turut memberi kelonggaran sepertimana difirmankan-Nya: “(Iaitu) beberapa hari tertentu. Maka barang siapa di antara kamu sakit atau di dalam perjalanan, maka (wajib mengganti) sebanyak hari (yang dia tidak berpuasa) pada hari-hari yang lain. Dan bagi orang yang berat mengerjakan, wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin.

Tetapi barang siapa dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itu lebih baik baginya, dan puasamu itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (2:184)

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam khutbah juga dibicarakan tentang kualiti melaksanakan ibadah puasa. Selain disentuh menahan lapar dahaga, mengawal keinginan seks, mengawal mata, mengawal lidah, mengawal jari-jemari dan segalanya yang boleh mengurangkan kesempurnaan ibadah puasa, juga digesa mengerjakan solat tarawih selain solat wajib lima waktu secara berjemaah.

Di samping itu, diberi peringatan supaya bersederhana semasa berbuka puasa. Berbukalah ala kadar supaya dapat menghayati bagaimana orang susah dapat makan selepas bergelut mendapatkan makanan yang tidak sempurna.

Pesanan khatib dalam khutbah cukup baik lagi sempurna. Soalnya, mengapa berlaku bukan sahaja ketidaksederhanaan semasa berbuka puasa, sebaliknya bermewah-mewahan dengan makanan mengisi ruang meja? Menjadikan makanan serta minuman berbuka puasa jauh lebih mewah dari hari-hari bukan di bulan Ramadan.

Mengapa jadi begini? Di mana silapnya? Adakah pesanan khatib semasa khutbah seperti peribahasa, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri?

Semua sedar, bila sampai Ramadan, maka tumbuhlah bazar-bazar Ramadan di segenap ceruk. Saiznya bergantung kepada jumlah warga setempat. Semakin besar jumlah warga penduduknya, maka besarlah saiz bazar dan ramailah jumlah penjualnya. Lalu berduyun-duyunlah pembeli membanjiri bazar tersebut. Masing-masing bepergian dan datang untuk membeli makanan serta minuman dalam memenuhi selera mereka.

Matlamat mereka tersangat jelas, iaitu memenuhi nafsu makan. Nafsu makan mereka telah menindih sifat kesederhanaan yang diingatkan oleh khatib semasa khutbah. Ini bagi mereka yang menyerbu bazar Ramadan untuk mengisi meja makan.

Golongan elit dan separa elit pula menjamu nafsu makan mereka di hotel-hotel mewah dan separuh mewah, sama ada tiga bintang hingga enam bintang. Hotel-hotel menyediakan tempat makan bukan sahaja di dewan makan sedia ada, malah mengisi meja hingga ke mana sahaja sudut yang boleh digunakan. Ratusan jenis makanan dan minuman disediakan.

Bila berdepan ratusan makanan begini, maka segala pemikiran tentang kepayahan hidup, kesengsaraan, kepahitan serta kedaifan makanan si marhaen tertunjal jauh dari para elit dan sewaktu dengannya. Nampaknya, ibadah puasa untuk mendekatkan umat Melayu kepada kepahitan hidup si daif semakin menyimpang jauh. Semakin jauh perjalanan sejarah umat Melayu, nampaknya semakin hanyut pengertian ibadah puasa sebenarnya.

KAMPUNG

Ibadah puasa bertukar menjadi pesta makan buat umat Melayu Islam di Semenanjung. Sampai bila amalan ini akan berlanjutan?

Selain masalah pesta makan yang perlu diambil perhatian, tidak kurang juga ‘kerosakan’ terjadi kepada umat Melayu Islam dalam soal menyambut Hari Raya Aidilfitri. Budaya menyambut hari raya perlu dikaji kembali. Mungkin dalam mengeratkan silaturahim itu tercapai. Namun, apakah amalan sekarang tidak merugikan di segi ekonomi umat Melayu Islam?

Sejak bila pesta Hari Raya Aidilfitri disambut selama sebulan? Sudah beberapa dekad perkara ini melanda umat Melayu Islam. Mengapa dibiarkan menjadi budaya yang dikira merugikan ekonomi umat Melayu ini berterusan? Mengapa perkara sebegini boleh terjadi? Di mana silapnya?

Saya bertanya di mana silapnya bersandarkan perayaan puluhan tahun yang lampau. Kalau di kampung, hari raya keempat warganya sudah bekerja. Begitu juga di bandar, tidak banyak bezanya dengan budaya kerja orang di kampung. Ia disesuaikan dengan cuti Hari Raya Aidilfitri hanyalah dua hari.

Kini cuti Hari Raya Aidilfitri masih kekal dua hari. Tetapi mengapa merayakannya selama sebulan? Adakah kerana ekonomi orang Melayu kini sudah tersangat baik lagi kukuh? Maka itu, bolehlah berpesta selama sebulan?

Setahu saya, pesta beraya sebulan ini berlaku di Brunei. Apakah budaya itu menyeberang ke Miri dan dari Miri terbang ke Semenanjung? Maka berpestalah umat Melayu Islam di sini.

Mengapa orang Melayu Islam tidak melihat serta belajar daripada orang Cina, India dan etnik-etnik lain dalam merayakan hari penting mereka? Orang Cina dan India menyambut hari perayaan mereka berapa lama? Sebulan? Dua bulan? Atau seminggu?

Bila orang Melayu berpesta sebulan, adakah orang Melayu mahu menunjukkan kepada orang Cina bahawa ekonomi mereka lebih kukuh? Atau mahu menunjukkan orang Melayu suka beramal?

Lagi parah apabila pesta sebulan ini tidak hanya melanda individu Melayu, sebaliknya ‘penyakit’ ini merebak pada kerajaan. Bukan sahaja sambutan dibuat di peringkat kementerian semata-mata, malah turut berlaku di jabatan serta agensi.

Cuba bayangkan, berapa banyak wang rakyat dihabiskan sepanjang sebulan pesta hari raya ini? Katakan sebuah kementerian terdapat 12 atau 13 jabatan dan agensi. Sekiranya setiap unit itu membelanjakan RM100,000 termasuk makan, minum, muzik serta penyanyi dan peralatan, bermakna sebuah kementerian itu membelanjakan lebih RM1.2 juta.

Mampukah kerajaan Malaysia Madani menghentikan amalan yang tidak begitu sempurna ini? Tepuk dada, pastikan berselera.

Saya masih teringat kata-kata seorang rakan niaga berketurunan Jawa semasa sama-sama minum di Jakarta. Dalam bahasa berseloroh, dia berkata, “Berfikirlah macam si Batak, Bekerjalah macam si Jawa. Berpestalah macam si Melayu.” Kata-kata itu berpasak di akar fikir saya selamanya.

Benarkah orang Melayu akan terus hanyut dalam dunia pesta-pestaan selamanya? Apatah lagi untuk menyempurnakannya bersulam dengan pepatah-petitih orang Minang Negeri Sembilan – biar papa asalkan bergaya. – UTUSAN

PENULIS ialah penganalisis politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini