Kalinga dibanggakan di India, Filipina

Kalinga dibanggakan di India, Filipina

SEHINGGA kini, Festival Batok dianjurkan pada Oktober setiap tahun bagi meraikan seni dan budaya tatu yang menjadi identiti orang Kalinga. – SUMBER INTERNET
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penggunaan istilah ‘keling’ sering menjadi isu yang diperdebatkan secara hangat di Malaysia sejak 2003. Malah, kes pernah dibawa ke mahkamah dalam cubaan mendesak perkataan itu digugurkan dari Kamus Dewan.

Isu timbul kerana kita kurang memahami makna dan konteks sebenar penggunaan istilah ‘keling’ dan ‘kalinga.’ Saya memberi penjelasan dan penerangan berkenaan hal ini dalam buku Suvarna Bhumi (2022).

Pada kali ini, marilah kita mengenali komuniti Kalinga di India dan Filipina yang amat berbangga dengan nama dan identiti itu. Kalinga atau Keling merujuk sebuah empayar hebat di Pantai Coromandel, bahagian timur India. Ia terkenal dengan pelayar dan pedagang yang turut datang ke Nusantara seawal abad ketiga.

Memuatkan artikel berkaitan…

Gelaran Benua Keling seperti dalam Sejarah Melayu merujuk kepada India Selatan. Kalinga sebagai sebuah kerajaan kuat dan diketuai pemerintah menggunakan gelaran Kalingadhipati (Raja Kalinga) juga disebut dalam epik Mahabharata. Kerajaan itu membantu Duryodhana dan pihak Kaurava dalam perang menentang Pandava kerana isteri Duryodhana ialah puteri kepada Raja Chitrangad, pemerintah Kalinga.

Empayar Kalinga merupakan satu daripada sembilan kerajaan hebat di India Selatan pada masa dahulu. Sejarah turut merekodkan kisah Perang Kalinga di mana tentera Empayar Maurya pimpinan Raja Asoka menyerang Kalinga. Perang itu menyaksikan kematian lebih 250,000 orang.

Catatan batu bersurat merekodkan Asoka benar-benar menyesal, lalu mula mengamalkan ahimsa mengikut ajaran agama Buddha. Kisah ini boleh ditonton dalam filem Asoka (2001) lakonan Shah Rukh Khan.

Kehebatan dan sejarah wilayah itu ada dalam buku The Kalinga Heritage (2018) oleh Bijay Kumar Swain. Orang Odia Odisha (nama lamanya Orissa) merupakan keturunan Kalinga dan mereka amat berbangga dengan identiti itu.

Akhbar harian The Kalinga Chronicle terbit sejak 2013. Stesen Kalinga TV pula bersiaran 24 jam sehari sejak 2013 di Odisha. Universiti Kalinga diasaskan di Chhattisgarh pada 2011. Terdapat Institut Sains Sosial Kalinga di Odisha yang menerima Hadiah Literasi Antarabangsa UNESCO pada 2022 atas usaha menyediakan latihan vokasional percuma kepada lebih 30,000 kanak-kanak suku asli.

Pada 24 hingga 26 Februari lalu berlangsung Festival Sastera Kalinga kali kelapan di Bhubaneswar, Odisha. Hadiah Kalinga UNESCO Bagi Pengembangan Sains bertaraf antarabangsa dimulakan pada 1952 hasil sumbangan dana Kalinga Foundation Trust.

Asutosh Mishra dari Universiti Terbuka Indra Gandhi menghuraikan dalam jurnal Anthropology (2021) perihal hubungan sejarah, budaya dan antropologi antara orang Kalinga di Odisha dan orang Sinhalese di Sri Lanka. Ada juga hubungan rapat dengan Sumatera dan Jawa. Hal-hal ini menunjukkan betapa identiti kalinga (keling) sepatutnya perlu dibanggakan dan bukan dianggap suatu penghinaan.

AUSTRALIA
Di Canberra, Australia terdapat sebuah organisasi bernama Kalinga Australia yang menyediakan perkhidmatan skim insurans kecacatan sejak 2016. Ada pula kawasan penempatan bernama Kalinga di Wooloowin, Brisbane. Taman Kalinga merupakan kawasan hutan simpan yang dibuka pada 1910. Agak menarik kerana Kalinga dikatakan berasal daripada bahasa penduduk asli Australia iaitu ngalinnga yang bermakna milik kami.

Majalah Vogue Philippines keluaran April 2023 turut mendapat perhatian media antarabangsa kerana menampilkan seorang warga emas berumur 106 tahun pada kulit depan. Apo Whang-Od merupakan seorang mambabatok iaitu tukang tatu tradisional dalam suku Kalinga.

Kisah wanita hebat ini menarik minat saya untuk mengenali komuniti Kalinga secara lebih dekat.

Buku Archaeological Anthropology: Perspectives on Method and Theory (2007) oleh Miriam T. Stark dan James M. Skibo serta kajian ilmiah oleh Francis H. Lambrecht dalam Saint Mary’s Research Journal (2003) sangat membantu.
Orang Kalinga ialah suku asli di bahagian utara Luzon, Filipina. Lagu-lagu rakyat yang dinamakan ullalim dan cerita rakyat yang digelar lubu mendokumentasi sejarah, budaya, pemikiran dan kisah keperwiraan golongan Kalinga sejak zaman dahulu.

Pada mulanya, suku asli ini menggelarkan diri mereka tagukami (kami manusia) dan iLutakami (kami adalah penghuni bumi). Istilah ‘kalinga’ bermakna ‘musuh, pahlawan, pemenggal kepala’ dalam bahasa etnik Ibanag dan Gaddang, mula digunakan apabila merujuk kepada suku asli tagukami sehingga akhirnya menjadi nama rasmi kepada wilayah, penduduk dan bahasa suku berkenaan.

Pakaian dan perhiasan penuh warna-warni membuatkan orang Kalinga diberi nama timangan Merak Utara. Tatu tradisional yang diketuk dengan tangan menggunakan bilah buluh, duri pokok limau bali dan arang dinamakan batok. Sejak abad ke-16, batok menjadi lambang keberanian dan kepahlawanan bagi lelaki serta simbol kematangan, kesuburan dan kecantikan bagi wanita suku Kalinga.

Sehingga kini, Festival Batok dianjurkan pada Oktober setiap tahun bagi meraikan seni dan budaya tatu yang menjadi identiti orang Kalinga.

Buku Kalinga Tattoo: Ancient and Modern Expressions of the Tribal (2010) oleh Lars F. Krutak cukup mengujakan kerana penuh maklumat dan fotografi.

Pada 15 Februari lalu, wilayah Kalinga mencatat dua rekod sekali gus dalam Guinness World Records sewaktu sambutan Festival Bodong yang memperingati perjanjian damai (bodong) antara pelbagai suku yang bersengketa dahulu. Pada festival kali ini, seramai 3,440 lelaki bermain gong tradisional manakala 4,681 wanita terlibat dalam tarian banga (periuk tanah).

Hasil carian menemukan sebuah yayasan pembangunan komuniti bernama Gawad Kalinga yang diasaskan pada 1995 untuk mengenal pasti dan membantu komuniti miskin tegar di seluruh Filipina. Sejak 1984, Kalinga Mission for Indigenous Children and Youth Development berusaha mengatasi masalah kemiskinan, selain memelihara biodiversiti dan kemampanan suku Kalinga. Terdapat pula Kalinga State University yang bermula sebagai sebuah kolej komuniti pada 1974 bagi menawarkan kursus penternakan ayam, menjahit pakaian dan seni anyaman tradisional kepada orang tempatan.

Mungkinkah sekarang persepsi kita terhadap keling dan kalinga akan berubah?-UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×