PUTRAJAYA: Hanya 27,705 atau 46 peratus daripada 59,230 pemohon Fasiliti Sokongan Akaun Dua (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) layak membuat pinjaman dengan bank-bank yang menyediakan inisiatif tersebut.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jumlah permohonan tersebut setakat kelmarin selepas permohonan dibuka pada 7 April lalu.
“Daripada jumlah itu, seramai 27,705 sahaja yang layak mengikut syarat iaitu berumur 40 tahun dan ke atas,” kata beliau pada sidang akhbar selepas melawat Jabatan Akauntan Negara (JANM) di sini semalam.
Menurut beliau, syarat lain bagi permohonan ialah pencarum perlu mempunyai baki simpanan dalam Akaun 2 KWSP sekurang-kurangnya RM3,000.
Kata beliau, kebanyakan permohonan yang ditolak kerana pencarum berumur 40 tahun dan ke bawah.
“Umur itu tidak melepasi syarat yang ditetapkan, ini bermakna permohonan yang 40 tahun ke bawah semuanya ditolak,” kata beliau.
PEMOHON
Terdahulu, bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahmad Maslan berkata, rata-rata pemohon yang mahu membuat pinjaman mempunyai simpanan bawah RM100,000 dalam akaun masing-masing.
“Jumlah simpanan dalam KWSP membimbangkan kita sebenarnya, tetapi apa yang jelas itulah angka yang kita peroleh sekarang setakat hari ini,” kata beliau.
Kerajaan sebelum ini memberi khabar gembira apabila membenarkan pencarum berusia 40 tahun ke atas layak membuat pinjaman bank dengan syarat mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2.
Dua bank menyediakan kemudahan pinjaman FSA2 iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN) dan MBSB Bank setakat ini.
Pinjaman itu ditawarkan dengan kadar faedah (Konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) adalah antara empat hingga lima peratus iaitu lebih rendah berbanding kadar pasaran semasa iaitu lapan hingga 15 peratus.
Jumlah pembiayaan maksimum telah ditetapkan pada RM50,000 tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP, dengan tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun.- UTUSAN










