Sempat mohon izin pulang beraya di Kedah

Sempat mohon izin pulang beraya di Kedah

NURHAYATUL Husna Abdul Muttalib menunjukkan gambar Koperal Mohammad Nasri Mohd. Nasib di rumah ibu mentuanya di Pulau Mertajam, Penaga, Pulau Pinang. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: “Kali terakhir saya bertemu arwah pada 2 Mac lalu ketika menghantarnya ke kem sebelum bertolak ke lokasi operasi,” kata isteri kepada anggota tentera, Koperal Mohammad Nasri Mohd. Nasib yang dilaporkan hilang sebelum ditemukan meninggal dunia di Hutan Simpan Royal Belum, Perak.

Nurhayatul Husna Abdul Muttalib,30, berkata, dia memohon izin suaminya untuk pulang ke Sungai Petani, Kedah bersama dua anak mereka untuk menyambut Aidilfitri kali ini.

“Memandangkan arwah tidak dapat bercuti tahun ini, dia membenarkan saya bersama anak-anak untuk pulang ke kampung.

“Kalau tidak silap saya, arwah dijangka menamatkan operasi awal bulan depan dan kali terakhir kami beraya bersama adalah pada Aidilfitri tahun lepas,” katanya ketika ditemui di kediaman ibu mentuanya di Pulau Mertajam, di sini, semalam.

Katanya, mereka sekeluarga tinggal di kuarters Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Seri Bentong, Pahang sejak mendirikan rumah tangga lima tahun lalu.

Katanya, hasil perkahwinan mereka dikurniakan sepasang anak lelaki dan perempuan yang masing-masing berusia empat dan dua tahun.

“Sikap arwah sangat menyenangkan kami sekeluarga, dia seorang suami yang penyayang dan sabar melayani kerenah anak-anak.

“Tidak ada kata yang dapat menggambarkan perasaan kami sekeluarga kerana selalunya setiap kali arwah menyertai operasi, dia pulang dalam keadaan selamat. Kami reda dengan ketentuan Ilahi dan menganggap ia satu ujian Allah SWT,” katanya.

Jumaat lalu, media melaporkan mangsa dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum pada pukul 12.50 tengah malam.

Mangsa adalah anggota dari Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Seri Bentong, Pahang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×