Kita berpeluang sebaris orang Cina

Kita berpeluang sebaris orang Cina

MESKIPUN orang Cina adalah golongan minoriti di negara ini, mereka masih mampu menguasai ekonomi negara. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAHAGIAN pihak mengatakan bahawa kejayaan kaum Cina di negara ini adalah disebabkan ketiadaan hak istimewa bumiputera seperti orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak. Oleh itu, orang Cina terpaksa bekerja keras untuk membina kehidupan yang lebih baik.

Dari satu sisi kedengaran betul tetapi pada hakikatnya orang Cina berjaya adalah disebabkan sikap mereka yang berusaha keras sejak dahulu lagi dan tiada kena mengena sama ada mempunyai hak bumiputera ataupun tidak.

Semua orang Cina di atas muka bumi ini berkongsi genetik yang sama, iaitu suka berniaga, berusaha lebih dan tidak berpaut pada apa-apa bantuan lain. Buktinya, meskipun orang Cina adalah golongan minoriti di negara ini, mereka masih mampu menguasai ekonomi negara, bahkan turut menguasai ekonomi di Thailand dan Indonesia.

Hebat sekali kaum Cina, di mana sahaja berada meskipun dalam jumlah yang sedikit, mereka masih mampu menjadi ‘abang besar.’ Lihatlah pula negara-negara yang memang dikuasai oleh kaum Cina seperti China dan Singapura.

Kemajuan dan pembangunan yang dikecap oleh negara-negara ini cukup luar biasa. Dari negara kelas ketiga dunia, kini menjadi kelas pertama bahkan antara negara paling termaju, terhebat, termoden dan berkuasa di dunia.

Tidak perlu nak korek rahsia kejayaan orang Cina, semua pun tahu yang mereka sejenis makhluk Tuhan yang istimewa lahir dari sejarah kelam pada masa lampau terutama selepas penjajahan kejam Jepun ke atas China dahulu.

Orang Cina cukup berbeza dengan kaum-kaum lain terutama orang Melayu. Mereka belajar dari sejarah, kemudian bangkit mengubah sejarah kelam itu kepada sejarah gilang-gemilang. Mereka bukan sahaja berjaya dalam sektor perniagaan dan ekonomi dunia, bahkan mampu mengekalkan identiti bangsa sehinggakan semua negara yang ingin berurusan dengan mereka perlu menggunakan bahasa ibunda dan susun atur mereka sendiri.

Ayuh kita menelusuri sejenak kejayaan China. Beberapa dekad lalu, keluaran dalam negara kasar (KDNK) China berkembang daripada 54 trilion yuan (RM24 trilion) kepada 114 trilion yuan (RM72 trilion) sekali gus menyumbang 18.5 peratus daripada ekonomi dunia, meningkat 7.2 mata.

JELIK

China kekal sebagai ekonomi kedua terbesar dunia. KDNK per kapitanya meningkat daripada 39,800 yuan (RM25,436) kepada 81,000 yuan (RM51,758). China turut menduduki tempat pertama di dunia dari segi pengeluaran bijirin dan ia memastikan keselamatan makanan dan tenaga untuk lebih 1.4 bilion penduduknya.

China juga membina rangkaian kereta api berkelajuan tinggi dan lebuh raya terbesar di dunia dan membuat pencapaian besar dalam membina lapangan terbang, pelabuhan dan pemuliharaan air, tenaga, maklumat dan infrastruktur lain.

Fakta-fakta luar biasa China ini harus kita amati dengan baik. Berbeza dengan kita yang sejak kemerdekaan negara pada 1957 hingga sekarang, nasib orang Melayu tetap sama – masih miskin, kurang pendidikan dan terpalit dengan pelbagai masalah sosial.

Sudah 66 tahun merdeka pun orang Melayu masih di paras yang sama. Perdana Menteri dalam kalangan orang Melayu datang bersilih ganti dengan membawa slogan-slogan Melayu, namun masih gagal untuk mengubah nasib dan kehidupan mereka sendiri. Perjuangan Melayu itu hanya sekadar dijadikan tempat untuk meraih undi sewaktu pilihan raya dan mengekalkan kekuasaan.

Orang Melayu harus faham bahawa mereka tidak boleh mengubah nasib dengan bertongkatkan keistimewaan bumiputera dan berpaut pada pemimpin-pemimpin Melayu, sebaliknya mereka sendirilah yang harus menukar mentaliti atau cara berfikir seperti orang Cina.

Mereka harus bangkit berusaha sendiri dan menempa kejayaan. Tengoklah bagaimana China yang pada suatu ketika dahulu dipandang jelik dan hina oleh negara-negara Barat.

Kini negara-negara yang mencela dan menghina mereka itu pulalah terduduk malu dan terpaksa mencium telapak kaki orang-orang Cina di seluruh dunia. Kalau nak ambil inspirasi atau semangat ingin berjaya, tidak perlu tengok jauh-jauh sampai ke Barat sana. Ambil sahaja orang Cina di Malaysia sebagai contoh teladan untuk mengubah nasib anak bangsa.

Amerika Syarikat sudah pun tahu hakikat hayat kuasa mereka di hujung tanduk tidak lama lagi. China akan mengambil alih tampuk kekuasaan dunia termasuklah Barat yang angkuh itu akan menjadikan China sebagai kiblat untuk semua perkara. Jadi, saya berpendapat, kenapa orang Melayu tidak mahu ambil peluang ini untuk mengecap kejayaan bersama orang Cina?

Kita masih mempunyai masa yang cukup untuk berjalan seiring dengan kaum Cina. Rugilah kalau kita ada berjuta penduduk etnik Cina di Malaysia tetapi tidak memanfaatkan mereka untuk kebaikan kaum sendiri. – UTUSAN

PENULIS ialah Pegawai Khas Ahli Parlimen Machang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×