KUALA LUMPUR: Kurang dua minggu menjelang Hari Raya Aidilfitri, ramai peniaga bazar Ramadan di ibu negara mengeluh kerana mendakwa kerugian sehingga ada yang mengambil keputusan berhenti berniaga.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa bazar Ramadan di pinggir ibu kota mendapati, walaupun kebanyakannya dipenuhi pengunjung namun menjelang waktu berbuka, masih terdapat banyak baki nasi, lauk-pauk dan minuman.
Situasi itu jauh berbeza berbanding laporan kaji selidik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang memaklumkan bazar Ramadan meriah dengan 69 peratus daripada 1,148 responden membabitkan peniaga mengakui premis masing-masing ramai pengunjung.
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, laporan kajian KPDN yang dilakukan bermula pada 31 Mac lalu tidak menggambarkan situasi sebenar yang berlaku kepada para peniaga.
“Saya yang berada di bawah dan bertemu dengan peniaga dan pengunjung melihat banyak peniaga sudah mula tutup dan tidak lagi berniaga kerana tiada modal pusingan. Pengunjung pula mengambil sikap berjimat sebab tiada wang berlebihan untuk berbelanja.
“Malah, harga makanan pun mahal, sebab itu pelanggan tidak lagi bermewah untuk membeli makanan seperti dulu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, selain faktor kuasa pembeli berkurangan, faktor cuaca turut memainkan peranan yang menyebabkan peniaga rugi kerana tiada pembeli yang berkunjung ke bazar Ramadan pada waktu hujan.

Akibatnya, Rosli berkata, ramai peniaga bazar Ramadan menjual semula tapak perniagaan kepada orang lain kerana tidak mahu menanggung kerugian.
Membuktikan perkara itu, seorang pengurus tapak Prihatin di bawah persatuan peniaga kecil Wilayah Persekutuan yang mahu dikenali sebagai Amiruddin berkata, selepas hampir dua minggu berniaga di bazar Ramadan, 10 peniaga telah menjual tapak masing-masing dengan harga serendah RM300 berbanding RM800 pada harga asal.
Jelas beliau, peniaga lain pula masih di peringkat bertahan meskipun mengalami kerugian yang teruk.
“Setakat semalam saya ke sebuah bazar Ramadan di sini pada pukul t petang untuk melihat keadaan peniaga. Terlalu banyak makanan tidak terjual.
“Lebih teruk, ada peniaga yang dah tutup gerai dan tidak mahu meneruskan perniagaan kerana keuntungan tidak sampai RM200 setiap hari, ia berbeza dengan sebelum ini mampu peroleh keuntungan sehingga RM500 sehari,” katanya.
Menurut Amiruddin, kerugian yang berlaku berpunca daripada kenaikan harga barang yang mendadak sehingga menyebabkan pelanggan terlalu mencatu setiap wang tunai yang dikeluarkan.
“Rata-rata yang datang hanya ingin membeli kuih-muih dengan harga yang murah dan bukan membeli makanan yang berat kerana harga yang mahal.
“Tetapi harga yang ditetapkan bukanlah kita suka-suka nak jual mahal, harga bahan mentah yang kita dapat pun sudah terlalu mahal. Jadi untung yang diperoleh pun hanya sedikit, lepas untuk belanja raya untuk kami pun sudah memadai,” ujarnya.
Kata beliau, kerajaan seharusnya mengawal harga bahan mentah yang naik terlalu mendadak pada setiap hujung minggu.
Katanya, kenaikan harga itu memperlihat para pemborong mengawal harga sesuka hati dan perkara itu berlaku di Pasar Pudu.
Menurut Amiruddin lagi, beliau yang berniaga cucur udang di kawasan Desa Pandan, Kuala Lumpur turut terasa dengan kenaikan harga bahan mentah.
“Contoh seperti saya jual cucur udang satu set dengan kuah kacang, harga kacang sahaja meningkat sudah dua kali. Lima kilogram harga kacang sebelum puasa RM 36.50, awal puasa RM37.50, seminggu selepas puasa RM39.50. Udang pula sekilogram RM24, tetapi pada Sabtu dan Ahad, harga udang jadi RM28.
“Sehinggakan ada peniaga di Pasar Pudu yang mengingatkan saya dan peniaga lain, kalau nak beli bahan mentah, beli sebelum Sabtu. Sebab harga pada hari Sabtu dan Ahad akan mahal. Itu antara punca kenapa harga yang kita jual kepada pelanggan juga mahal.
“Kerajaan nak kawal harga makanan kena buat ke atas pemborong, bukan pada kami yang berniaga kecil-kecil ini,” ujarnya lagi.
Keadaan sama turut berlaku kepada peniaga di sekitar pusat beli-belah Kenanga yang keluh-kesah dengan mengalami kerugian sepanjang dua minggu berpuasa.
Peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Mak Cik Ina berkata, sepanjang lebih 10 tahun berniaga di bazar Ramadan, ini kali pertama bmengalami kerugian besar.
“Antara kami masing-masing mengeluh perkara yang sama dalam kumpulan WhatsApp dan cuba beri semangat, tetapi tidak tahulah sampai bila boleh bertahan,” ujarnya. – UTUSAN











