Orang Kedah tidak ‘loklaq’ sangat - Mahdzir

Orang Kedah tidak ‘loklaq’ sangat – Mahdzir

MAHDZIR Khalid (duduk, tengah) pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kedah di Bangunan Tunku, Alor Setar. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: UMNO Kedah berpandangan ‘persengketaan’ antara Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dengan Kerajaan Persekutuan tidak sepatutnya berlaku walaupun kedua-dua kerajaan tersebut ditadbir parti yang berbeza.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, terdapat cara yang lebih baik sekiranya kerajaan negeri memerlukan sesuatu termasuk sebarang kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan berbanding apa yang berlaku ketika ini.

Katanya, selaku bekas Menteri Besar Kedah, beliau tahu terdapat kekurangan yang perlu ditambah baik agar rakyat khususnya penduduk negeri itu mendapat perkhidmatan yang lebih baik daripada kerajaan.

“Kita bercakap sebagai orang Kedah ini dia ada (unsur) lawak juga, tetapi dia tidak ‘loklaq’ (berkelakuan tidak senonoh) sangat. Ada had dan cara untuk kita nak minta sesuatu daripada orang. 

“Tambah-tambah lagi kita nak minta (daripada pihak) yang bukan sealiran dengan kita, Sepatutnya cari jalan untuk kita buat yang terbaik. Bagi saya kalau cara yang baik, Kerajaan Persekutuan dengan negeri itu sebaiknya sama. Rakyat lebih mudah dapat khidmat.

“Sekarang musim kemarau, salah satu benda paling berat ditanggung kerajaan negeri yang memang saya tahu adalah berkaitan masalah air di merata daerah. Rakyat menyumpah, awak jadi kerajaan kena selesaikan. Tak payah berkelahi dengan orang,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Tunku, semalam.

Beliau mengulas situasi yang berlaku di Kedah ketika ini apabila Muhammad Sanusi berterusan menyalahkan agensi serta Kerajaan Persekutuan dalam pelbagai perkara termasuk terbaharu berkaitan rizab tanah Melayu di negeri itu.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, mesyuarat pertama UMNO Kedah di bawah pimpinannya mencapai kata sepakat melantik beberapa jawatan penting untuk diisi selain menubuhkan tiga jawatankuasa utama di peringkat negeri untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

“Kita telah menubuhkan jawatankuasa perundingan kerusi, jawatankuasa komunikasi dan media serta jawatankuasa manifesto sebelum mengadakan pertemuan rasmi bersama Pakatan Harapan (PH) Kedah untuk membolehkan kita bergerak dalam pilihan raya.

“Setakat ini kita tak sampai ke tahap calon lagi, kita berunding dahulu bagi memastikan tiada perebutan kerusi (dengan PH), selepas itu melihat aspek komunikasi dan media serta manifesto apa yang mahu ditawarkan kepada rakyat sebagai tawaran baharu,” katanya.

Sementara itu, Mahdzir mengumumkan Datuk Ariffin Man dan Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin masing-masing kekal sebagai Setiausaha dan Ketua Penerangan UMNO Kedah, manakala Datuk Shahanim Mohd. Yusof dilantik sebagai bendahari. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×