Kurangkan semberono ‘pukul’ orang, kawal ‘gendang kecapinya’ - Utusan Malaysia

Kurangkan semberono ‘pukul’ orang, kawal ‘gendang kecapinya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“JIKA burung boleh dikenal dengan bunyinya, manusia dikenal dengan ucapannya,” demikian pendapat pujangga Hamka. Agak lama kita berpolitik dalam pelbagai sistem – memasuki merdeka pun hampir 66 tahun.

Sewajarnya tumpuan dalam tahun 2023 ini ke arah soal-soal menyerlahkan keterampilan, integriti dan isi jati. Magnet politik tidak perlu lagi tertarik dengan retorik mengampu. Lama sudah geloranya begitu.

Sedangkan politik Melayu harus merubahnya dengan cara berfikir apa terbaik untuk massa mereka. Itu yang penting. Tonggak budi dan budaya ialah pendidikan dan bahasa. Baik dan lengkap pendidikan sambil dijalin dengan perbahasan yang menarik, akan genap dan mampanlah anak bangsa yang dididik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mungkin akan ada yang membalas dan berkata bahawa pelajaran agama boleh mengatasi kekurangan nilai yang terdapat pada diri seseorang murid atau pelajar atau guru.

Belum tahu, sebab hanya setakat belajar menghafal, seseorang itu belum terjamin boleh mengolah kehidupan yang berimbang dengan tuntutan kebaikan dan kebajikan, dengan mendambakan rasionaliti.

Ia sepertimana yang cenderung dengan sains dan matematik boleh belajar subjek-subjek itu di sekolah, kolej dan universiti. Seterusnya, kecenderungan sedemikian boleh sahaja sama pendekatannya bagi subjek-subjek perubatan, kuasa nuklear, fizik, biologi dan lain-lain.

Sebaliknya, bagaimana mendapatkan didikan akhlak, berfungsi sebagai manusia berhemah tinggi, menggunakan kecerdasan pemikiran – seperti mana politik Malaysia yang sewajarnya sudah beralih ke aras tinggi menyamai rentak rakan-rakan mereka di Singapura dan Eropah.

ISLAM tetap akan menjadi tali penghubung yang paling kekal dan erat antara sesama kita. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

POLITIK LAMA

Sekarang kita sudah tidak dapat pisahkan apa-apa dari media sosial, termasuklah juga politik. Kebanyakan daripada kalangan orang politik lama mungkin masih ingat bagaimana berpolitik sebelum wujudnya internet.

Tetapi kini ada generasi baharu yang sejak kecil telah diajar untuk menyalurkan informasi secara online. Generasi ini tidak akan ingat berpolitik cara dulu.

Jadi, kita sudah seharusnya lama bersedia menghadapi perang politik berpentaskan media sosial bersama generasi baharu ini. Malangnya, tidak begitu. Sedih!

Kita berkata “dunia sudah berubah”. Namun sebenarnya, kita yang belum berubah. Jika ada faktor-faktor yang membuat kita berubah, ia kerana lingkungan kita dan gajet-gajet yang dijadikan alat mengubah diri dan karakter.

Jika 50 tahun dahulu, sesuatu berita walau sesensasi mana pun akan hanya dapat sampai kepada pembaca melalui surat khabar keesokan paginya.

Bagi sesetengah kawasan pedalaman pula, berita yang sama akan mengambil masa sedikit lama sampai ke pengetahuan umum.

Gambar-gambar yang diambil dengan kamera akan mengambil masa lebih lama lagi untuk filemnya siap diproses. Begitu juga dengan surat-surat akan tiba ke tangan penerima selepas beberapa hari diposkan oleh si pengirim.

Kaedah yang paling cepat untuk menyampaikan maklumat ketika itu ialah melalui telegram. Namun, jumlah perkataan sangat terhad.

Kini, gambar, video dan berita sensasi yang diambil di sesuatu tempat kejadian boleh dikongsi serata dunia selang beberapa saat sahaja. Dari gambar rajah tertera, kita dapati sebahagian dari apa yang berlaku di internet dalam 60 saat mampu tersebar ke seluruh dunia dengan hanya menekan butang di telefon pintar.

Semua ini mampu dilakukan melalui penggunaan “media”, khususnya media sosial. Bayangkan apa yang boleh berlaku di arena politik tatkala pilihan raya. Perang politik menggunakan media sosial pasti 100 peratus berlaku impak keberkesanannya.

Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald J. Trump adalah contoh terbaik dalam penggunaan media sosial. Walaupun suatu ketika dianggap underdog, kempen politik Trump melalui media sosial telah berjaya menumpaskan Hillary Clinton.

Kemenangan beliau berkisar pada perancangan yang rapi oleh pekerja kubu kuat Trump dan mengejutkan penganalisis politik di seluruh dunia.

Penggunaan media sosial oleh Trump secara konsisten dalam menyampaikan retorik politik amat berkesan sehingga media arus perdana AS seperti CNN, CNBC, ABC, CBS dan sebagainya melabelkan retorik kempen Trump sebagai satu kempen no holds barred dan menjadi berita utama dalam kebanyakan laporan berita.

Strategi Trump bersama media arus perdana dan media sosial sungguh popular hingga beliau sewenang-wenang melabel lawan dengan bahasa sempit dan keras. Pengalaman sebagai ahli perniagaan digunakan sebaiknya oleh Trump bagi close the deal dalam meraih sokongan pengundi.

KESAMAAN, BUKAN KELEMAHAN

Yang kita orang Melayu cukup bimbang sekiranya sebilangan orang politik kita tidak mahu berubah. Hentam kromo lawan membuta tuli demi meraih publisiti murahan. Kelas mengkritik peringkat rendah.

Kita khuatir sebahagian orang politik terlampau bergantung kepada imbuhan atau hal-hal berkaitan habuan, pangkat dan kedudukan. Mereka tidak berani seperti dulu-dulu menyuarakan hal tertentu demi kebenaran, perjuangan dan keintelektualan mereka.

Menjadi seorang intelek bererti seseorang itu berani mengemukakan yang benar. Berani kilas suara yang salah berpandukan ilmu, nilai sejagat dan Islam. Sengketa sesama seislam, apa lagi dalam komponen sepenting politik hanya mengikis kuasa kita berdikit-dikit. Lama-kelamaan kita tidak punya apa.

Pesan Bapak Hamka: “Manakala lain-lain jurusan sosial menjadi lemah atau ditinggalkan, Islam tetap akan menjadi tali penghubung yang paling kekal dan erat antara sesama kita.” Pepatah ada berkata ‘air dicencang tak akan putus’. Tetapi air yang di lubuk jika tidak dialirkan akan tertinggal sebagai lubuk tanpa keupayaan perairan yang besar.

Mari orang politik Melayu jadikan elemen-elemen kesamaan kita sebagai benteng kekuatan, bukan sebagai elemen-elemen yang membawa kelemahan.

Kita kurang-kurangkan semberono ‘pukul’ orang. Jangan terlalu banyak ‘gendang kecapi’nya. Ahli politik Malaysia seharusnya sudah terkehadapan aras tingginya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×