PETALING JAYA: Pintu untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bebas daripada menjalani hukuman penjara selama 12 tahun di Penjara Kajang masih lagi terbuka biarpun rayuan untuk membicarakan kesalahannya itu sudah tamat dari sudut undang-undang.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu mempunyai hak dari sudut Perlembagaan untuk dibebaskan daripada hukuman sedia ada menerusi pengampunan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, Najib masih mempunyai ruang memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong yang akan mendapatkan nasihat daripada Lembaga Pengampunan.
Menurutnya, Perlembagaan bagaimanapun tidak memperuntukkan sebarang tempoh untuk bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu perlu menjalani hukuman penjara sebelum boleh diadili Lembaga Pengampunan.
“Dari segi Perlembagaan, Najib ada hak untuk memohon atas sebab-sebab yang difikirkan (perbicaraan) tidak memberi pertimbangan sewajarnya, ada cacat semasa perbicaraan Mahkamah Tinggi, Rayuan dan Agong atau ada sebab dari segi kemanusiaan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Jadi katanya, terpulang kepada Ahli Lembaga menasihati Seri Paduka sama ada kes Najib adalah satu-satu kes yang patut diberi pengampunan, tetapi dari segi rayuan di mahkamah, beliau sudah habis sebab kebenaran semakan kaji semula pun sudah ditolak.
“Oleh itu lembaga itu akan menasihati Seri Paduka sama ada adakah (terdapat) sebab-sebab munasabah, sama ada dari segi undang-undang, dari segi kemanusiaan atau kelakuan baik Najib atau sama ada (mengambil kira) perkhidmatannya kepada negara dan rakyat yang membolehkan Seri Paduka mengampunkan kesalahannya.
“Tetapi, terpulang kepada Seri Paduka bila mahu memanggil persidangan. Kalau sudah sampai pada Yang di-Pertuan Agong, tetapi baginda tidak tetapkan mesyuarat, maka tidak ada mesyuarat sebab Lembaga Pengampunan bukan mahkamah atasan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Mengulas lanjut, Abu Talib berkata, keputusan mahkamah semalam sudah dapat dijangka kerana beliau tidak melihat kecacatan semasa perbicaraan kes itu sebelum ini.
“Selain itu, Mahkamah Agong juga sudah putuskan bahawa pihak pendakwa telah mengemukakan cukup bukti terhadap tuduhan yang dibuat terhadap Najib.
“Jadi kalau keputusan itu tidak ada apa-apa cacat dari segi undang-undang, (buat) apa lagi mahu dikaji semula, itu yang Mahkamah Agong buat keputusan sedemikian,” katanya.
Sementara itu, pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, Najib dijangka berdepan halangan untuk memfailkan permohonan pengampunan diraja kedua sekiranya permohonan pertama beliau sebelum ini ditolak.
Katanya, ini kerana bekas Presiden UMNO itu tertakluk kepada jadual tertentu yang bergantung kepada hukuman yang diterimanya sebelum boleh membuat permohonan seterusnya.
“Sebab untuk permohonan pertama difailkan tidak ada apa-apa tempoh masa namun, sekiranya permohonan pertama ditolak, maka ada halangan untuk failkan permohonan seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pengamal undang-undang, Mior Nor Haidir Suhaimi berpendapat, pengampunan diraja merupakan satu segmen yang berbeza dan bukannya langkah terakhir dalam perundangan.
Katanya, ini kerana salah tetap salah, tetapi ia sebagai memberi peluang kedua supaya pesalah dapat dibebaskan daripada hukuman yang dihadapi. – UTUSAN









