Dahulu periang, kini Iman Nur Zara seperti bayi

Dahulu periang, kini Iman Nur Zara seperti bayi

MASLINDA Bagiran merawat anaknya, Iman Nur Zara Noor Firdaus yang disahkan menghidap penyakit genetik sehingga menyebabkan dia kini terlantar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kehidupan riang seorang kanak-kanak di Felda Air Tawar 3, Iman Nur Zara Noor Firdaus, 9, di sini, bertukar sekelip mata selepas diserang penyakit genetik yang menjadikannya seperti bayi semula.

Iman Nur Zara sempat merasai alam persekolahan dengan menyertai kelas literasi ketika usianya empat tahun sebelum keadaan kesihatannya merosot.

Ibunya, Maslinda Bagiran, 39, berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu disahkan oleh doktor menghidap ‘juvenille huntington disease with epilepsy and parkinson’ ketika usianya tujuh tahun dan kini hanya terlantar selepas tangan serta kaki mengeras serta membengkok selain sudah tidak boleh bercakap.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada awalnya saya dapat kesan percakapan dan pergerakan Zara jadi perlahan sedangkan dia seorang kanak-kanak yang aktif dan tidak alami masalah ketika dilahirkan. Cara jalannya terhuyung-hayang, jatuh-jatuh kemudian percakapannya mula tidak jelas. Tidak lama itu dia mula bergerak secara mengesot dan pada tahun lepas dia terus tidak boleh berjalan.

“Kesihatannya semakin merosot selepas dia diserang sawan lebih 40 kali dan ditahan wad selama tiga bulan. Bahkan kini Zara juga bergantung hidup dengan tiub untuk minum susu khas atas saranan doktor ekoran dia tidak boleh makan secara normal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Maslinda berkata, dalam sehari Iman Nur Zara perlu mengambil 12 jenis ubat termasuk ubat sawan yang perlu diberi seawal pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Dia yang bekerja sebagai jururawat terpaksa menghantar anaknya itu ke rumah pengasuh bagi membolehkannya keluar mencari rezeki dan sebelum ini bertugas di Perak, namun berpindah ke rumah orang tuanya untuk menjaga bapanya yang sudah tua.

“Selepas bercerai semua kos perbelanjaan anak-anak memang saya yang keluarkan sendiri. Anak bongsu berusia lima tahun bersekolah di Tadika Agama Johor, manakala yang sulung kini tahun lima.

“Kos bagi susu dan lampin Zara sahaja sudah mencecah RM500 lebih sebulan. Pengasuh pula perlu bayar RM500 lebih, belum lagi kos ubat-ubatan juga peralatan tiub dan sebagainya. Dalam masa sama saya juga ada hutang kereta yang perlu dibayar. Sebelum ini saya pernah memohon bantuan daripada jabatan berkenaan, namun ditolak atas alasan saya bekerja kerajaan,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank Maslinda bernombor 151071092777 atau menghubungi talian 019-4057708. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×