Bolehkah ketua negara diheret ke mahkamah?

Bolehkah ketua negara diheret ke mahkamah?

MAHKAMAH Jenayah Antarabangsa (ICC) pada 17 Mac lalu mengeluarkan waran tangkap terhadap Vladimir Putin yang didakwa bertanggungjawab terhadap dua jenayah perang. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RUANG Pra-Perbicaraan II Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada 17 Mac lalu mengeluarkan waran tangkap terhadap Presiden Russia, Vladimir Putin yang didakwa bertanggungjawab terhadap dua jenayah perang di bawah Perkara 8(2)(a)(vii) dan Perkara 8(2)(b)(viii) Statut Rom, iaitu pengusiran penduduk (kanak-kanak) secara tidak sah dan pemindahan penduduk (kanak-kanak) secara tidak sah dari kawasan diduduki di Ukraine ke Russia.

Persoalannya, bolehkah seorang ketua negara yang masih lagi memegang jawatan sah ditangkap dan diseret ke mahkamah seperti ICC di bawah undang-undang antarabangsa?

KEKEBALAN SEORANG KETUA NEGARA

Secara umumnya, seorang ketua negara tidak boleh dilanggar (inviolable) dan mempunyai kekebalan daripada sebarang tangkapan dan pendakwaan secara mutlak di mana-mana mahkamah selagi mana beliau masih lagi sah memegang jawatan tersebut di bawah undang-undang adat antarabangsa (customary international law) dan undang-undang antarabangsa seperti termaktub di bawah Perkara 29 dan Perkara 31 Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961 (VCDR 1961). Kekebalan ini terpakai secara mutlak sungguhpun seseorang ketua negara didapati telah melakukan jenayah antarabangsa seperti pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Sungguhpun VCDR 1961 yang mempunyai seramai 193 negara ahli hanya terpakai kepada diplomat (juga kepada kakitangan dan ahli keluarga), Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam dua kes tangkapan waran iaitu antara Republik Demokratik Congo dan Belgium pada 2002 dan mutual assistance in criminal matters case antara Djibouti dan Perancis pada 2008 memutuskan VCDR 1961 ini juga terpakai kepada pegawai tinggi negara iaitu ketua negara, ketua kerajaan dan menteri luar negara.

Namun, Perkara 32 VCDR 1961 ini menyatakan bahawa kekebalan pegawai tinggi negara adalah bersifat sementara dan boleh diketepikan oleh negara tersebut pada bila-bila masa. Disebabkan Russia melalui jurucakapnya, Dmitry Peskov telah menyatakan bahawa waran tangkap tersebut adalah ‘batal’ dan ‘tidak sah’ kerana Russia, seperti Amerika Syarikat dan China bukanlah negara ahli kepada Statut Rom. Maka dapat disimpulkan di sini bahawa Russia tidak akan mengetepikan kekebalan Presidennya.

Oleh demikian, adakah undang-undang antarabangsa mempunyai pengecualian terhadap kekebalan ini jika enggan mengetepikan kekebalan kepada pegawai tinggi negara tersebut?

PENGECUALIAN KEKEBALAN

ICJ dalam kes waran tangkap antara Republik Demokratik Congo dan Belgium pada 2002 memutuskan sungguhpun pegawai tinggi negara tidak boleh dilanggar dan mempunyai kekebalan daripada sebarang tangkapan dan pendawaan secara mutlak di mana-mana mahkamah selagi mana beliau masih lagi sah memegang jawatan, terdapat empat pengecualian di bawah undang-undang antarabangsa di mana pegawai tinggi negara akan hilang kekebalan beliau.

Empat pengecualian kekebalan tersebut:

1. Jika pegawai tinggi negara tersebut didakwa di hadapan mahkamah tempatan di negara beliau sendiri berdasarkan peruntukan undang-undang negaranya.

2. Jika kekebalan pegawai tinggi negara tersebut diketepikan oleh negaranya sendiri.

3. Jika pegawai tinggi negara tersebut tidak lagi memegang jawatannya.

4. Jika pegawai tinggi negara tersebut didakwa di hadapan mahkamah antarabangsa yang kompeten dan mempunyai bidang kuasa.

Disebabkan pengecualian (1) hingga (3) tidak lagi terpakai kerana Putin tidak didakwa di hadapan mana-mana mahkamah di Russia, negara itu sendiri tidak mengetepikan kekebalan Presiden berkenaan malah menyatakan waran tangkap tersebut adalah ‘batal’ dan ‘tidak sah.’ Dan Putin masih lagi memegang jawatannya sebagai ketua negara secara sah mengikut undang-undang Russia. Justeru, kekebalan beliau boleh dikecualikan dan diketepikan oleh ICC sebagai mahkamah antarabangsa yang kompeten di bawah pengecualian (4) yang mempunyai bidang kuasa ke atas dua jenayah perang yang didakwa dilakukan di bawah Perkara 8(2)(a)(vii) dan Perkara 8(2)(b)(viii) Statut Rom.

Pengecualian kekebalan pegawai tinggi negara yang masih lagi memegang jawatannya seperti ketua negara atau Presiden Russia ini sungguhpun mengundang kontroversi, namun tidaklah asing di bawah undang undang antarabangsa. Presiden Sudan, Omar Al-Bashir dan Presiden Libya, Muammar Gaddafi juga pernah dikeluarkan waran tangkap oleh ICC ke atas mereka semasa masih lagi memegang jawatan sebagai ketua negara masing-masing di mana kedua-dua negara ini juga bukanlah negara ahli kepada Statut Rom seperti Russia.

Sungguhpun undang-undang antarabangsa memberikan pengecualian ke atas kekebalan pegawai tinggi negara bagi menegakkan keadilan kepada mangsa-mangsa jenayah antarabangsa seperti pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan, pengecualian ini tidak harus dibuat terutama sekali oleh ICC sebagai mahkamah antarabangsa kompeten yang didakwa berat sebelah. Ini kerana keadilan kepada mangsa-mangsa jenayah antarabangsa seperti di atas tidak diperlihatkan dan ditegakkan terutama sekali ke atas rakyat Palestin, Iraq, Afghanistan dan sebagainya yang dilakukan oleh pelbagai pihak dari pelbagai negara.

Ini sejajar dengan prinsip undang-undang bahawa keadilan bukan sahaja mesti dilakukan tetapi juga harus dilihat secara nyata akan pelaksanaannya. – UTUSAN

Dr. Fareed Mohd. Hassan ialah Pensyarah Undang-Undang di Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×