PETALING JAYA: Kira-kira 1.8 juta ekor lembu diperlukan untuk pengeluaran daging lembu mencapai 50 peratus tahap sara diri (SSR) menjelang 2030 bagi mengurangkan kebergantungan import makanan yang dijangka mencecah RM100 bilion pada 2025.
Jumlah itu bagaimanapun masih jauh daripada sasaran Dasar Agromakanan Negara 2.0 apabila setakat tahun ini, hanya sekitar 750,000 ekor lembu atau 22 peratus dapat dihasilkan, walaupun sasaran tersebut perlu dicapai dalam tempoh kurang tujuh tahun lagi.
Sasaran yang dilihat turut sukar dicapai adalah beras 80 peratus berbanding ketika 65 peratus, sayur-sayuran (79 peratus), daging ayam dan itik (140 peratus), telur ayam dan itik (123 peratus) dan susu segar (100 peratus) berbanding buah-buahan (83 peratus) dan makanan laut (98 peratus).
Antara kekangan yang dihadapi ketika ini adalah ketidakmampuan negara untuk memenuhi permintaan tinggi di pasaran, kekurangan pengeluaran dan sumber tempatan, kekurangan kawasan pertanian serta penghasilan makanan yang bertujuan untuk eksport.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah Jabatan Sains Haiwan di Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Anjas Asmara @ Ab. Hadi Samsudin menjelaskan, pengeluaran beras dan daging lembu berdepan cabaran terbesar kerana kekurangan tanah untuk penanaman padi dan penternakan.
Katanya, ia menjadikan sasaran SSR untuk beberapa sub sektor pertanian sukar dicapai, dengan negara mungkin terus bergantung banyak kepada makanan import selepas 2030.
“Input padi negara sebenarnya lebih baik daripada Thailand dan Indonesia namun kita ada masalah keluasan tanah padi apabila kebanyakan tanah padi telah ditukar ganti dengan kawasan perindustrian dan perumahan, jadi pengeluaran beras agak tergugat ketika ini.
“Kajian terbaru juga menunjukkan keluasan tanah untuk pengeluaran daging lembu tidak banyak sedangkan kita perlukan 1.8 juta ekor lembu pada 2030 tetapi sekarang hanya sekitar 750,000,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, salah satu cadangan yang disyorkan dalam soal pengeluaran daging lembu adalah menggunakan kawasan kelapa sawit sedia ada.
Pada masa sama, Anjas menyifatkan, pengeluaran sayur-sayuran tidak sepatutnya berdepan masalah untuk mencapai sasaran SSR namun terdapat konflik tertentu dalam menghasilkan makanan bagi pasaran tempatan dan eksport.
“Kebanyakan pengeluaran sayur-sayuran sebenarnya dibuat dengan tujuan penghasilan eksport kerana ia bernilai tinggi, bukan untuk pasaran tempatan.
“Kita tidak boleh salahkan petani yang mahu menjual sayur dengan harga mahal, tetapi harga sayur untuk pasaran tempatan menjadi tinggi kerana kurangnya sumber, jadi ada konflik menyebabkan sasaran SSR sedikit sukar untuk dicapai,” katanya.
Tambahnya, pengeluaran telur ayam pula berdepan dengan kos tinggi yang tidak mampu ditanggung oleh penternak kecil sedia ada.
“Kira-kira 60 peratus penternak kecil ambil anak ayam dari syarikat besar untuk dijual balik ke pasaran. Untuk syarikat besar, mereka tidak ada masalah kerana mereka ada bahan makanan, ada kilang sendiri.
“Namun untuk penternak kecil, mereka terpaksa menanggung harga dan kos bahan makanan seperti jagung, soya, baja yang tinggi. Sebab itu ada yang tutup sementara, ada juga yang tutup terus operasi,” katanya.
Justeru, beliau menyeru supaya pengeluaran beberapa sektor pertanian utama diteliti semula bagi memastikan sasaran dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0 menjelang 2030 tercapai.
“Dasar negara pun sudah ada, apa yang penting adalah memastikan sama ada pelaksanaannya sampai kepada pemain industri, sampai kepada pengguna. Kalau ada kepincangan, kena tambah baik,” katanya. – UTUSAN









