PETALING JAYA: Tahap korupsi anggota penguat kuasa selaku barisan hadapan keselamatan negara semakin kronik dan membimbangkan.
Ini ekoran kebanjiran warga asing yang dilihat sebagai peluang besar terhadap segelintir penguat kuasa tidak berintegriti untuk membuat duit menerusi perbuatan rasuah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, menerusi maklumat pendatang asing tanpa izin (PATI), pekerja warga asing dan pelajar luar negara menjadi sasaran kepada penguat kuasa untuk meminta rasuah.
“Tidak kira sama ada kumpulan tersebut ada permit kerja, visa pelajar apatah lagi ‘kosong’ dan berstatus PATI, penguat kuasa tidak berintergriti menjadikan mereka sasaran minta rasuah,” kata beliau dalam kenyataan semalam.
Menurut beliau, rasuah juga berlaku ketika permohonan kemasukan warga asing atau membabitkan permohonan kuota dengan ejen-ejen membayar penguat kuasa bagi mempercepatkan proses.
Malah kata beliau, dengan bayaran rasuah, warga asing atau pekerja asing yang disenaraihitamkan turut boleh memasuki negara ini.
JALANAN
“Selain itu, rasuah juga berlaku di jalanan bagi mengelakkan tindakan diambil walaupun warga asing itu ada dokumen lengkap.
“Rasuah juga berlaku apabila penguat kuasa melindungi kegiatan tidak bermoral seperti rumah urut, pelacuran serta Macau Scam,” kata beliau.
Ahmad Khusairi berkata, rasuah juga dikesan dalam hal untuk mendapatkan kerakyatan, sijil beranak selain untuk aktiviti perlombongan dan meneroka tanah secara haram.
Menurut beliau, semua yang disebut hanya sebahagian daripada apa yang berlaku antara penguat kuasa dengan PATI dan warga asing yang berada di negara ini.
“Justeru, kehadiran PATI dan warga asing secara tidak langsung mewujudkan ruang dan peluang kepada anggota-anggota penguat kuasa untuk mengutip rasuah secara kecil-kecilan, bulanan mahupun bersindiket,” tegas beliau.
Oleh itu, kata Ahmad Khusairi, isu kebanjiran PATI dan warga asing tidak boleh dilihat sebagai perkara remeh kerana kesannya amat buruk apabila melibatkan masalah sosial, jenayah, kesihatan dan keselamatan negara.
DITELAN
“Perkara ini sungguh menyedihkan dan pahit untuk ditelan namun inilah yang sering dihadapi oleh golongan warga asing mahupun PATI.
“Hakikat yang berlaku sedang mendatangkan imej yang amat buruk kepada Malaysia. Slogan ‘Malaysia Boleh’ dijadikan sindiran sinis yang membawa pengertian yang cukup memedihkan yang mana semua perkara boleh diselesaikan dengan membayar rasuah.
“Justeru, tidak hairan Malaysia menjadi antara tumpuan pekerja asing mendapatkan pekerjaan, pusat transit dadah di rantau Asia Tenggara, pusat penipuan dan pelaburan palsu antarabangsa, judi online, Macau Scam, pelacuran antarabangsa dan sebagainya,” katanya.
Kata beliau, pendedahan SPRM menerusi Op Tropicana, Op Bolos KLIA 1 dan 2, Op Lancar dan beberapa siri operasi lain membuktikan isu ini serius dan memerlukan tindakan tegas agensi-agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab.
“Kita sering menolak dan menidakkan realiti serta mencari pelbagai alasan untuk menafikannya.
“Komen yang biasa kita dengar ‘ia adalah kejadian terpencil’ sudah tidak mampu dijadikan alasan menidakkan realiti bagaimana rakusnya anggota penguat kuasa dalam perkara ini,” kata Ahmad Khusairi. – UTUSAN










