KLANG: Meskipun sudah lebih setahun banjir besar melanda Selangor, masih terdapat mangsa bencana itu yang belum menerima bantuan sebanyak RM2,500 serta bantuan lain dijanjikan Kerajaan Persekutuan.
Terbaharu, 30 keluarga mangsa banjir itu yang tinggal di sekitar Meru mendakwa tidak mendapat bantuan itu, termasuk Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000.
Seorang mangsa, K. Vani, 48, berkata, permohonannya diterima Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang pada Januari tahun lalu dan memperoleh bantuan wang RM1,000 daripada Kerajaan Negeri Selangor.
“Tetapi saya tak dapat bantuan BWI dalam tempoh beberapa bulan. Kemudian saya berjumpa pegawai di pejabat berkenaan untuk bertanya status bantuan itu. Saya diarahkan merujuk ke Pejabat Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), dua kali saya pergi.
“Saya penat berjumpa dengan pelbagai pihak tetapi masalah tidak selesai,” katanya ketika ditemui di pejabat Kelab Kebajikan dan Sosial Meru Selatan, di sini, baru-baru ini.
Perkara sama turut diluahkan seorang lagi mangsa banjir, Che Anwar Zainul Hafi Che Mat, 37, yang mendakwa tidak menerima sebarang bantuan daripada Kerajaan Persekutuan kecuali RM1,000 daripada Kerajaan Negeri Selangor pada Januari tahun lalu.
“Bantuan kerajaan Pusat langsung saya tak dapat seperti BWI, sumbangan pembelian barang keperluan dan rebat pembelian barangan elektrik.
“Bencana itu mengakibatkan saya kerugian RM10,000 ekoran kerosakan beberapa barang elektrik seperti peti ais, mesin basuh dan televisyen,” ujarnya yang bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan.
Kerajaan Persekutuan sebelum ini memperkenal Bantuan Bencana Banjir Keluarga Malaysia pada awal 2022 yang mana sebuah keluarga mangsa banjir boleh menerima bantuan sehingga RM61,000.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Kebajikan dan Sosial Meru Selatan, Mohd. Najib Othman berkata, pihaknya sebelum ini membantu ratusan mangsa dengan menjadi penghubung kepada mangsa banjir dengan pihak ICU JPM.
“Apa yang saya buat adalah mendapatkan nama serta butiran mangsa dan menyerahkan kepada pihak ICU JPM. Alhamdulillah ia membuahkan hasil apabila beberapa keluarga yang sudah mendapat bantuan daripada kerajaan Pusat.
“Saya buat inisiatif ini semula kerana didapati ada lagi keluarga yang langsung tak dapat bantuan. Selepas ini, saya akan hantar maklumat mangsa ini kepada ICU JPM semula,” katanya. – UTUSAN











