SEREMBAN: Terlibat dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Turkiye, baru-baru ini meninggalkan pengalaman yang tidak boleh dilupakan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Tidak terkecuali kepada salah seorang anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) yang menyertai misi tersebut iaitu, Pegawai Bomba, Muhammad Hilmi Mohd. Fauzi, 34,
“Semasa menjalankan operasi mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan, saya dan pasukan menemukan mayat seorang wanita yang mengandung.
“Lebih menyedihkan, suami wanita itu turut berada di situ yang membuat pengecaman dan memaklumkan mayat tersebut adalah isterinya. Pada waktu itu perasaan memang sangat hiba dan saya tidak akan lupakan kejadian berkenaan,” katanya.
Dia ditemui Utusan Malaysia selepas menerima sijil penghargaan daripada JPBM Negeri Sembilan yang disampaikan Pengarah JBPM Negeri negeri, Abdul Khair Osman pada Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Negeri Sembilan di Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 di sini, semalam.
Turut menerima sijil penghargaan sama ialah dua lagi rakannya yang juga anggota STORM, iaitu Pegawai Bomba Kanan II (KUP), Muhamad Faidzul Pangat, 35, dan Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Shahrizal Boahari, 39.
Sementara itu, Muhamad Faidzul berkata, pengalaman mengikuti operasi menyelamat tersebut memang tidak dapat dilupakannya lebih-lebih dalam keadaan cuaca sejuk.
“Kami ditempatkan bersama 30 lagi anggota di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Nurdagi, Gazientep, Türkiye bagi operasi dan menyelamat mangsa.
“Bagi saya, cuaca sangat memberi cabaran kerana kami terpaksa berlawan dengan suhu yang sangat sejuk. Bertugas di kawasan gempa ini antara pengalaman yang tidak dapat saya dilupakan, terima kasih atas penghargaan ini,” katanya.
Sementara itu, Abdul Khair berkata, sijil penghargaan yang disampaikan itu adalah sebagai tanda terima kasih kepada mereka yang bertugas dan memberikan khidmat dalam tragedi itu.
“Sudah tentu dalam setiap operasi, anggota JBPM telah mencurahkan pengorbanan amat besar dan khidmat yang terbaik,” katanya. – UTUSAN











