Rohana pulangkan wang AS$10j, aset dikaitkan 1MDB - Utusan Malaysia

Rohana pulangkan wang AS$10j, aset dikaitkan 1MDB

1mdb
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Ke­tua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Berhad, Datuk Rohana Rozhan telah memulangkan wang AS$10 juta dan aset dikaitkan de­ngan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, kesemua wang termasuk aset tersebut dipulangkan kepada kerajaan pada tahun lalu iaitu selepas siasatan SPRM selesai.

Rohana Rozhan

Bagaimanapun, sumber itu berkata, beliau tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai cara dan prosedur terperinci pemulangan wang berkenaan.

“Beliau (Rohana) sudah pulangkan semua wang dan aset yang berkenaan kepada SPRM yang kemudian di­salurkan kepada kerajaan,” kata sumber itu ketika dihubungi semalam.

Oleh itu, kata sumber itu, siasatan membabitkan Rohana berkaitan dengan dana 1MDB selesai.

“Pihak SPRM sudah selesai dan setakat ini tidak ada apa-apa lagi yang diperlukan berhubung dana 1MDB daripada Rohana,” kata sumber.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam jawapan bertulis di Parlimen menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (PH-Kepong) memaklumkan, Jabatan Peguam Negara tidak menge­tahui sekiranya Rohana telah memulangkan wang AS$10 juta berkenaan kepada kerajaan.

Lip Eng juga meminta Perdana Menteri menyatakan berapa banyak aset 1MDB yang telah dikembalikan kepada kerajaan dan berapa hutang 1MDB yang masih perlu dibayar kerajaan.

“Jabatan Peguam Negara tiada pengetahuan berkenaan perkara ini. Terima kasih,” kata Azalina bagi pihak perdana menteri.

ASET

Pada 7 Mac lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan kerajaan sudah mendapatkan kembali lebih 70 peratus aset 1MDB membabitkan jumlah kira-kira RM28.3 bilion setakat ini.

Menurut Azam, jumlah perolehan semula itu adalah kejayaan buat negara atas hasil kerja keras SPRM, Kementerian Kewangan (MOF) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

Untuk rekod, pada 13 April tahun lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Rohana yang didakwa mempunyai hubungan dengan Tim Leissner bersetuju menyerahkan semula wang AS$10 juta yang diberikan oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc berkenaan.

Rohana didakwa menggunakan wang AS$10 juta yang diberikan oleh Leissner termasuk membeli sebuah rumah di London yang dikatakan bernilai RM29 juta (AS$7 juta).

Kaitan Rohana dengan dana 1MDB bermula susulan pendedahan Leissner dalam perbi­caraan kes bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng berkaitan 1MDB di AS pada Februari tahun lalu.

SULIT

Dalam pembicaraan itu, Leissner memberitahu mahkamah AS bahawa dia mempunyai hubungan sulit dengan tiga wanita Malaysia, termasuk Rohana.

Leissner turut mendakwa dia membelanjakan AS$10 juta untuk membeli sebuah rumah di London untuk Rohana selepas wanita itu kecewa kerana dia memutuskan hubungan mereka selama 10 tahun untuk berkahwin dengan model AS Kimora Lee Simmons pada 2013.

Sebelum itu, pada 2018, Leissner mengaku bersalah terlibat dalam pelanggaran undang-undang antirasuah AS dan konspirasi pengubahan wang.

Pertuduhan terhadapnya turut merangkumi penjualan bon berkaitan 1MDB bernilai kira-kira AS$6.5 bilion (RM27.2 bilion), yang diuruskan dengan bantuan Goldman Sachs pada 2012 dan 2013.
Goldman Sachs pada 2020, bersetuju membayar denda AS$3 bilion (RM12.5 bilion) dan anak syarikatnya di Malaysia mengaku bersalah di mahkamah AS.

Pada 13 Mac lalu, Parlimen diberitahu baki hutang 1MDB ialah sebanyak RM9.7 bilion manakala RM41.6 bilion aset 1MDB telah diperoleh semula. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×