Kemuka pelan kawalan Covid-19 - Utusan Malaysia

Kemuka pelan kawalan Covid-19

AZAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Terengganu digesa mengemukakan pelan kawalan Covid-19 berkesan susulan peningkatan kes yang semakin meruncing di samping kadar kebolehjangkitan (Rt) harian tertinggi direkodkan negeri ini.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Azan Ismail berkata, pelan luar biasa itu sangat diperlukan dan bukan sekadar bergantung semata-mata kepada garis panduan Kementerian Kesihatan serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau mendakwa, situasi Covid-19 di Terengganu kini ibarat bom jangka dan boleh meletus pada bila-bila masa jika tiada langkah segera diambil.

“Kerajaan negeri perlu mengambil teladan kes yang berlaku di Selangor dan bertindak segera bagi memastikan letusan wabak tidak menjadi lebih buruk.

“Jika terus merebak tentunya lebih sukar untuk dikawal, jadi usah tunggu hingga terhantuk baru tengadah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sehingga kelmarin, tujuh daerah di Terengganu kekal sebagai zon merah susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 termasuk di beberapa daerah yang sebelum ini dianggap selamat. .

Dalam pada itu, Azan meminta kerajaan negeri memanfaatkan pembayaran wang tunai petroleum (WTP) bagi pelaksanaan program vaksinasi secara menyeluruh demi kesihatan rakyat.

“Kerajaan negeri tidak boleh berdiam diri sebab virus sudah merebak termasuk ke institusi sekolah dengan pelbagai peringkat umur dijangkiti dan kebimbangan tidak hanya kepada golongan berisiko.

“Malah, kakitangan kesihatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) turut dijangkiti Covid-19. Inni adalah masa yang tepat untuk kerajaan negeri bertindak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×