KOTA BHARU: Komitmen seorang peniaga membantu pasukan keselamatan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mendapat pengiktirafan selepas menerima penghargaan daripada polis.
Abdul Ghani Mohammad, 45, menerima penghargaan itu yang disampaikan Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Azman Ayob sempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-216 di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, semalam.
Katanya, dia tidak pernah bermimpi menerima penghargaan tersebut kerana dilakukan secara sukarela sejak tujuh tahun lalu.
“Setiap kali dimaklumkan mengenai kejadian lemas di kawasan Machang dan sekitar, saya turun memberikan bantuan untuk SAR. Begitu juga dengan operasi memindahkan memindahkan mangsa banjir.
“Apabila menerima penghargaan ini, saya rasa bersyukur dan terharu. Selepas ini, saya lebih bersemangat membantu masyarakat,” katanya selepas menerima sijil penghargaan itu.
Menceritakan antara pengalaman terlibat dalam SAR mangsa lemas, Abdul Ghani berkata, pada 25 Januari lalu dia pernah ‘berkampung’ selama empat hari di Sungai Kelantan dekat Pangkalan Haji Mustapa, Kampung Paloh Rawa, Machang bagi membantu pasukan keselamatan.
“Meskipun operasi berkenaan mengambil masa empat hari sebelum mangsa ditemukan, ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus mencari mangsa sehingga dijumpai,” ujarnya yang kini memiliki dua buah bot serta tiga buah jet ski. – UTUSAN











