Jangan terpukau kilauan kuasa - Utusan Malaysia

Jangan terpukau kilauan kuasa

KONGRES Nasional Khas PKR di Stadium Malawati, Shah Alam, pada Sabtu lalu telah dihadiri kira-kira 4,000 perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABTU lalu telah berlangsung Kongres Nasional Khas PKR di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor yang dihadiri kira-kira 4,000 perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara.

Kongres bertemakan Malaysia Madani: Pelaksanaan Sebuah Idealisme ini dirasmikan oleh Presiden PKR merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kongres ini bertepatan sekali dilangsungkan dalam keadaan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar telah melangkaui tempoh usia 100 hari malah menjangkau empat bulan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kongres ini juga mencatatkan sejarah bila buat kali pertama seramai 41 duta besar dan pesuruhjaya tinggi negara-negara luar hadir, menggambarkan minat tinggi mereka kepada PKR.

Saya bersetuju dengan kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam ucapan penggulungannya, menjadi kerajaan bukanlah tanda ukur kejayaan.

Bukan berapa bilangan menteri dan timbalan menteri PKR yang patut menjadi kebanggaan sebaliknya apakah matlamat agenda dan idealisme itu sudah terlaksana atau tidak.

Seperti dijelaskan oleh Anwar dalam ucapan dasar beliau, PKR mempunyai idealisme dan ia mesti digilap kerana tidak ada dalam sejarah tamadun dunia idealisme itu kekal mantap.

Menjadi tanggungjawab semua ahli PKR untuk memperkuatkan semangat perjuangan supaya agenda reformasi dapat diterjemahkan secara yang lebih serius dan lebih bermakna.

Sesungguhnya ucapan dasar Anwar amat luhur dan ikhlas sekali kerana beliau bercakap tanpa menggunakan teks, kesemua kata-kata beliau lahir spontan dari hati nurani sendiri.

Empat bulan Anwar bersabar, dengan berbicara secara teratur sebagai seorang Perdana Menteri, tetapi di kongres ini beliau berbicara lantang sebagai seorang pemimpin gerakan reformasi.

Malangnya, musuh-musuh politik beliau, bekas-bekas pemimpin yang terbabit dengan rasuah melihat ini sebagai satu kelemahan dan di kongres ini beliau menzahirkan kekuatan beliau.

Kepada bekas-bekas pemimpin yang terbabit dengan rasuah ini, Anwar melaungkan tekad beliau, yang disambut dengan tepukan gemuruh hadirin, “Saya akan melawan mereka dan saya akan melawan mereka dengan bersungguh-sungguh”.

Tegas Anwar lagi, beza antara PKR dengan penguasa sebelum ini ialah selama ini kuasa politik digunakan untuk menghentam rakyat serta melindungi penjenayah dan perasuah besar.

Tetapi setelah PKR berkuasa maka kuasa ini akan dan sedang digunakan untuk melindungi rakyat serta menyerang dan menghentam semua penjenayah dan perasuah besar tanpa memilih bulu.

Tepat sekali kata-kata Anwar, apabila PKR berada di tampuk pemerintahan, ia bukan dinilai dari ungkapan dan lakaran kata-kata tetapi ia akan dinilai dari segi amalan dan pelaksanaan.

Melihat kepada kegiatan oleh Anwar semenjak menjadi Perdana Menteri, beliau nyata konsisten sekali melakukan reformasi sedaya upaya beliau selaras dengan Perisytiharan Permatang Pauh.

Tidak dinafikan bahawa semenjak menjadi Perdana Menteri ada rungutan bahawa Anwar kurang turun menemui tokoh-tokoh parti atau kurang memberi keselesaan kepada orang-orang parti.

Bagaimanapun, jelas Anwar, beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang parah dalam sistemnya, rasuahnya sistemik, menjalar dalam semua bidang.

TERPUKAU

Pokok paksi perjuangan PKR ialah membetulkan keadaan yang sudah bobrok dan usang, di mana sistem itu rosak, kerugian ketirisan itu terlalu banyak, dalam setiap fail ada masalah.

Tambah Anwar, bukan setakat fail seperti Jana Wibawa di Kementerian Kewangan bermasalah tetapi di Kementerian Pengangkutan, Kementerian Dalam Negeri dan sebagainya juga.

Oleh itu, kerajaan harus menumpukan perhatian untuk membetulkan perkara ini, bukan untuk menghentam orang lain tetapi untuk selamatkan dana dan pulangkannya balik kepada rakyat.

Perwakilan dan pemerhati kongres terpukau bila Anwar mendedahkan dalam ucapan penangguhan beliau mengenai apa yang berlaku dalam pembanterasan rasuah sekarang.

Tegas Anwar, bila beliau diberi mandat, beliau memberi arahan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Peguam Negara dan badan kehakiman, supaya harus kembali bebas sebagai institusi yang ada integriti.

Pendakwaan tidak berlaku meluas sebelum ini kerana dulu ketua kerajaan tidak pernah memberi arahan kepada badan-badan penguat kuasa supaya jangan melindungi perasuah.

Sebaliknya, beliau sebagai ketua kerajaan sekarang mengarahkan badan-badan ini bertindak secara bebas, berani dan telus: “Siapa sahaja yang sakau, tangkap dan penjarakan”.

Untuk membuktikan beliau tidak pilih kasih, Anwar secara terbuka mengumumkan di kongres ini beliau tidak akan melindungi mana-mana menteri atau wakil rakyat baharu yang rasuah. “Kalau ada mana-mana menteri baharu dan wakil-wakil rakyat negeri atau Pusat didapati terlibat dalam rasuah, termasuk dari PKR sendiri, jangan cari saya,” itu jaminan Anwar.

Usaha membanteras rasuah memang amat sentral kerana seluruh perjuangan Anwar adalah mengenai tadbir urus dan tata kelola baik, kalau tidak dibersihkan proses bocornya banyak.

Sewaktu meluncurkan gagasan Malaysia Madani pada 19 Januari dulu pun telah Anwar tegaskan bahawa kita perlu selesaikan isu tata kelola dahulu sebelum roda ekonomi dapat berputar semula.

Oleh itu, kerajaan perpaduan sudah berada di atas landasan yang betul dan kukuh. Tidak ada sebab mengapa ia mahu dijatuhkan, apatah lagi jika dengan menggunakan isu kaum dan agama.

Seperti yang dicabar oleh Anwar kepada penunggang kaum dan agama di kongres ini: “Apa yang kita korbankan soal bahasa, soal agama dan soal hak Melayu selama empat bulan ini?”

Dan mereka perlu ingat amaran Anwar: “Saya akan menggunakan semua kuasa dan kekuatan yang ada pada saya untuk menghentikan kegilaan ini, kegilaan melawan kaum lain atau kepercayaan agama lain.”

Selaku pemimpin PKR, saya dan rakan-rakan perwakilan begitu terkesan dengan segala penjelasan dan penegasan Anwar di kongres ini. Semoga ia akan sampai kepada seluruh rakyat.

Semoga semua ahli PKR ingat pesanan Anwar supaya jangan terpukau dengan kilauan kuasa kerana tarikan kepada kesenangan, kemewahan dan harta menyebabkan ramai yang kecundang. – UTUSAN

PENULIS ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau dan Naib Pengerusi/Biro Politik Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah yang sedang menyediakan tesis doktor falsafah bertajuk PKR: Pengrealisasian Agenda Reformasi, 1998-2022 di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×