SEREMBAN: Isu pengairan menjadi masalah utama menyebabkan kebanyakan bendang sawah padi di negeri ini tidak dapat dimajukan.
Ia mengakibatkan terdapat pemilik-pemilik tanah sawah yang kini memajakkan tanah sawah mereka kepada pihak lain untuk tanaman lain termasuk jagung dan pisang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya, jumlah keluasan tanaman padi di negeri ini memang semakin menyusut namun kerajaan negeri akan cuba mengekalkan tanah-tanah sawah sedia ada yang masih boleh diusahakan.
“Untuk tanaman padi ini memang keperluan utamanya adalah air bagi pengairan sawah, jika tiada air memang mustahil untuk menanamnya. Di negeri ini padi masih banyak ditanam di daerah Kuala Pilah namun ada juga tanah bendang yang sudah ditanam tanaman lain kerana jauh dari punca air.
“Jika di kawasan Ulu Bendul sehingga Tanjung Ipoh masih banyak lagi sawah padi kerana dekat dengan punca air jadi ia boleh dikekalkan untuk tanaman padi, bagi yang jauh sikit dan air tidak sampai ia telah diubah untuk tanaman seperti jagung,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Tambah Bakri, selain di Kuala Pilah, padi masih dtanam di daerah Jelebu dan juga di Jempol dan kebanyakannya tidak lagi diusahakan oleh pemilik tanah sebaliknya dipajak kepada pihak lain.
“Antara puncanya juga ialah pemilik tanah sawah tersebut tidak lagi mempunyai upaya dan kudrat untuk mengusahakan tanaman padi jadi mereka memajakkan tanah mereka kepada orang lain,” katanya
Dalam pada itu, hasil maklumat yang diberikan oleh pihak Jabatan Pertanian Negeri Sembilan kepada Utusan Malaysia, jumlah keluasan tanaman padi yang aktif di negeri ini adalahluas 786 hektar.
Jumlah tersebut adalah daripada keseluruhan 2,096 hektar yang masih sesuai untuk tanaman tersebut di negeri ini.
Menurut maklumat itu lagi, kebanyakkan tanah sawah kini dipajak sama ada oleh syarikat-syarikat koperasi ataupun Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
Statistik Tanaman (Sub Sektor Tanaman Makanan) 2018 yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian menunjukkan jumlah keluasan bertanam padi di Negeri Sembilan bagi tahun 2018 adalah seluas 1,820 hektar.- UTUSAN










