PETALING JAYA: Johor mencatat jumlah tertinggi individu terlibat penyalahgunaan dadah sebanyak 14,317 kes diikuti Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Jumlah itu merupakan sebahagian 137,176 individu yang positif di seluruh negara antara Januari hingga Disember tahun lalu.
Difahamkan, kawasan rumah kos rendah, penempatan felda termasuk ladang kelapa sawit, perkampungan nelayan dan bangunan atau kediaman ditinggalkan antara lokasi panas penagih melepaskan gian mereka.
MENINGKAT
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata, jumlah penagih bagi tahun lalu meningkat sebanyak 10 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 123,139 individu.
Katanya, Kelantan merupakan kedua tertinggi iaitu 13,316 orang diikuti Terengganu (13,314 orang) dan Kedah (13,267 orang).
“Berdasarkan hasil serbuan AADK, seramai 12,949 penagih ditahan di Selangor, Pahang (12,253 orang), Perak (11,715 orang) dan Pulau Pinang (8,968 orang).
“Manakala Sabah (8,589 orang), Sarawak (7,841 orang), Negeri Sembilan (6,629 orang), Kuala Lumpur (6,367), Melaka (5,535 orang) dan Perlis (2,116 orang),” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut Sutekno, seramai 8,594 orang yang mendapatkan rawatan dan pemulihan dalam institusi manakala 64,335 orang lagi dirawat dalam komuniti.
Jelasnya, dalam tempoh tersebut, AADK berjaya merawat seramai 44,754 penagih menerusi rawatan dan pemulihan dalam komuniti.
“Daripada jumlah itu, seramai 19,440 klien telah dinilai menerusi kaedah Indeks Rawat dan Kepulihan (CCRI) dan hasil penilaian tersebut mendapati seramai 14,008 orang memenuhi kriteria kekal pulih.
“Jumlah itu juga membuktikan AADK telah melepasi petunjuk prestasi utama (KPI) kadar klien kekal kepulihan iaitu sebanyak 72 peratus berbanding kira-kira 71 peratus disasarkan,” ujarnya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan penjualan peranti vape tidak berdaftar yang dijual secara berleluasa dan kewujudan pelbagai dadah baharu sehingga sukar dikesan melalui ujian saringan air kencing antara punca peningkatan penagih belia sejak tahun lalu.
Mengikut statistik Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK), sebanyak 88,214 belia berusia antara 15 hingga 39 tahun ditahan terlibat dalam penagihan dadah sepanjang tahun 2022.
Setiausaha Agung Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC), Raja Azizan Suhaimi dilaporkan berkata, peningkatan itu disebabkan penggunaan vape yang dicampur dadah dalam kalangan beliau seawal 14 tahun yang senang didapati di pasaran sehingga mengakibatkan mereka terjebak dalam penagihan dadah.
Beliau berkata, hal ini sangat membimbangkan terutamanya vape digunakan secara meluas sehingga tiada pemantauan atau tindakan tegas malah terdapat pihak tidak bertanggungjawab menjualnya yang dicampur dengan ganja, heroin atau dadah perisa ‘mushroom’ terhadap golongan remaja. – UTUSAN










