Petronas catat untung RM101.6 bilion, tertinggi dalam sejarah

Petronas catat untung RM101.6 bilion, tertinggi dalam sejarah syarikat

petronas
TENGKU MUHAMMAD TAUFIK TENGKU AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM101.6 bilion pada tahun lalu, tertinggi dalam sejarah syarikat itu.

Petronas turut merekodkan pendapatan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM375.3 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 berbanding RM248 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.

Untung bersih (PAT) yang dicatatkan syarikat minyak dan gas nasional itu adalah peningkatan 100 peratus daripada RM50.9 bilion pada 2021. Prestasi itu didorong oleh harga produk utama iaitu minyak dan gas yang lebih tinggi.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) Petronas juga meningkat 70 peratus kepada RM170.7 bilion bagi Tahun Kewangan 2022 daripada RM100.4 bilion pada 2021.

Aliran Tunai daripada Aktiviti Operasi (CFFO) turut meningkat kepada RM135.3 bilion selain jumlah aset keseluruhan terus mengukuh dengan peningkatan 12 peratus kepada RM710.6 bilion setakat 31 Disember 2022 daripada RM635 bilion pada 2021.

Selain itu, ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM401.6 bilion setakat 31 Disember 2022, disebabkan keuntungan lebih tinggi yang direkodkan pada tahun berkenaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, tahun 2022 membolehkan pihaknya memanfaatkan lonjakan minyak dan gas, meskipun ia turut memberikan isyarat ketidaktentuan terhadap permintaan-bekalan yang didorong oleh peralihan mendadak dalam pasaran serta peralihan tenaga yang dipercepatkan.

Katanya, meskipun kumpulan itu maju dengan kedudukan yang lebih kukuh, Petronas akan terus memantapkan rantaian nilai bersepadunya dengan memberi lebih tumpuan kepada kecemerlangan komersial dan operasi.

“Kumpulan akan memberi tumpuan kepada penyampaian strategi pertumbuhan tiga serampang serta aspirasi Pelepasan Sifar Karbon Bersih menjelang 2050 secara berdisiplin, termasuk pengurusan komitmen kewangan dan obligasi hutang secara berhemat.

“Petronas tidak mempunyai pilihan selain untuk mengukuhkan masa depan kumpulan bagi mengekalkan keupayaan kami dalam menyampaikan nilai jangka panjang yang mampan sebagai Syarikat Minyak Nasional dan pemain tenaga global,” katanya pada sesi taklimat pengumuman keputusan kewangan Petronas untuk tahun 2022 di sini, semalam.

Mengulas mengenai Cukai Makmur yang diperkenalkan kerajaan pada tahun kewangan 2021, beliau berkata, kerajaan tidak mengumumkan sebarang keperluan untuk membayar Cukai Makmur seperti tahun sebelumnya.

Mengulas mengenai tinjauan 2023, beliau berkata, industri minyak dan gas berpotensi menyaksikan harga menyederhana pada 2023 berikutan jangkaan kelembapan ekonomi, meskipun berdepan cabaran ketidaktentuan pasaran yang berpanjangan.

“Dalam persekitaran ini, Petronas akan terus memacu kecemerlangan operasi dalam perniagaan terasnya sambil memenuhi sasaran pertumbuhan dan kemampanannya,” katanya.

Bagi suku terakhir 2022, kumpulan mencatat peningkatan pendapatan kepada RM105.9 bilion disumbang oleh kesan harga yang menggalakkan untuk semua produk dan jumlah jualan yang meningkat.

Untung bersih juga lebih baik pada jumlah RM24.4 bilion berbanding RM13.4 bilion tempoh sama bagi tahun 2021 selain merekodkan EBITA dan CFFO dengan masing-masing pada jumlah RM40.6 bilion dan RM52.2 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×