Sikap pengotor kita masih tidak berubah

Sikap pengotor kita masih tidak berubah

MASYARAKAT Jepun cukup dikenali dengan amalan bersih dalam kehidupan seharian mereka termasuk mengutip sampah di dalam stadium setelah selesai menonton perlawanan bola sepak. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENTERI Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming baru-baru ini menyeru masyarakat mengisytiharkan jihad terhadap pembuangan sampah di merata-rata tempat bagi memastikan negara ini bersih dan menjadi tarikan pelancong.

Menurutnya, masih ada kawasan yang kotor akibat tabiat membuang sampah sesuka hati selain sesetengah kawasan pula tidak memiliki sistem pengurusan sampah yang baik.

Sementara itu, sebanyak 260,989 kilogram atau lebih 260 tan metrik sampah dikutip khususnya di kawasan-kawasan pelancongan di seluruh negara dalam tempoh lima tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Data pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pahlawan Sampah (Trash Hero) dari 2017 hingga 2022 menunjukkan mentaliti kelas rendah dan kurang sivik masyarakat dalam aspek menjaga kebersihan dilaporkan tidak berubah.

Dalam pada itu, negara juga dilaporkan bakal berhadapan risiko lambakan sisa domestik berpunca daripada kelemahan sistem pengurusan sehingga menyebabkan kira-kira 38,000 tan sampah sehari tidak dapat ditangani dengan baik terutama di kawasan perbandaran.

Isu kebersihan sering kali menjadi masalah besar dalam kalangan anggota masyarakat kita termasuk dalam aspek penting seperti pemakanan. Misalnya, sebelum ini pernah kecoh apabila tular di media sosial video seekor tikus menjamah ayam goreng dalam pemanas makanan di sebuah restoran di ibu negara sehingga pihak berkuasa terpaksa bertindak segera mengeluarkan Notis Pengesahan Pembatalan Lesen (NPPL) berkuat kuasa serta-merta.

Data-data ini menunjukkan masih ramai yang tiada kesedaran sivik untuk menjaga kebersihan dalam aktiviti seharian serta membuang sampah di tempat sepatutnya. Ini membuktikan perlunya pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk memupuk budaya pembersih dalam kalangan anggota masyarakat.

Ringkasnya, kebersihan membabitkan soal sikap dan tingkah laku setiap individu perlu dididik dan dipupuk sejak kecil lagi supaya menjadi amalan sepanjang masa.

Sikap rakyat kita yang tidak begitu mempedulikan amalan dan gaya hidup bersih semakin serius apabila kita meneliti pelbagai lagi insiden yang berlaku seperti membuang sampah merata-rata termasuk di longkang, dari dalam kereta melalui tingkap sehingga memenuhi jalan raya mahupun tidak menjaga kebersihan ketika menggunakan kemudahan awam seperti tandas.

Budaya pengotor ini perlu dibendung dan dibetulkan dengan memupuk budaya pembersih. Jangan lupa, tindakan kita tidak menjaga kebersihan di kawasan rumah juga menyebabkan kes demam denggi terus meningkat.

Misalnya, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, sebanyak empat kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada minggu epidemiologi ketujuh 2023 iaitu dari 12 hingga 18 Februari lalu di mana 2,149 kes demam denggi dilaporkan berbanding 1,967 kes pada minggu sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 182 kes atau 9.3 peratus.

Ironinya, setiap agama juga sangat mementingkan aspek kebersihan. Misalnya, budaya menjaga kebersihan adalah amat dituntut dalam Islam. Islam menganjurkan umatnya untuk sentiasa mengamalkan kebersihan merangkumi diri, keluarga, tempat tinggal, tempat beribadat, tempat awam dan sebagainya.

Budaya dan amalan pembersih ini sepatutnya bermula dari rumah di mana ibu bapa perlu membimbing dan mendidik anak-anak mementingkan aspek kebersihan dalam setiap aktiviti.

JEPUN

Hal ini penting kerana ibarat melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Amalan baik yang kita terapkan sejak mereka kecil akan terus melekat dalam sanubari serta menjadi amalan dalam kehidupan seharian sehingga mereka dewasa kelak.

Maka antara peranan ibu bapa ialah menjadi suri teladan kepada anak-anak dengan cara mempraktikkan amalan kebersihan seperti membuang sampah di tempat sepatutnya, membasuh tangan sebelum dan selepas makan, menutup mulut ketika batuk atau bersin dan sebagainya.

Selain itu, kebersihan luar rumah juga perlu diambil perhatian seperti memotong rumput-rampai di halaman dan di sekeliling kediaman, membersihkan longkang dan saliran air. Begitu juga sampah sarap janganlah dibuang merata-rata sehingga mengganggu jiran.

Oleh itu, ibu bapa dilihat mempunyai peranan sangat signifikan dalam memastikan anak-anak mengamalkan nilai kebersihan dalam kehidupan agar dapat melahirkan generasi yang sihat dan cergas pada masa hadapan.

Guru di sekolah juga boleh memainkan peranan sama dengan terus memupuk dan menerapkan kepentingan dan keperluan untuk menjaga kebersihan terutama dalam konteks ilmu pengetahuan atau akademik.

Penerangan secara berfakta serta membudayakan amalan menjaga kebersihan di dalam kelas dan di persekitaran sekolah seperti sentiasa membersihkan bilik darjah dan menjaga kebersihan tandas boleh meningkatkan lagi tahap kesedaran anak-anak.

Di samping itu, pihak berkuasa juga wajar meneruskan kempen menjaga kebersihan dalam kalangan masyarakat. Kempen lebih segar, informatif dan proaktif perlu diadakan secara berkala atau berterusan. Kita tidak mahu kempen dan usaha hanya dibuat setahun sekali sempena Hari Kebersihan Sedunia semata-mata.

Sedarkan rakyat tentang kepentingan menjaga kebersihan, misalnya kesihatan kita akan lebih terjamin kerana tidak mudah mendapat penyakit dan mengelakkan penyakit merebak terhadap orang lain. Penyakit-penyakit berjangkit juga dapat dihindari sekiranya alam persekitaran sentiasa mengekalkan kebersihan.

Malah, amalan pembersih juga akan membantu seseorang membentuk otak yang cergas dan badan yang sihat. Selain itu, menjadi pembersih akan meningkatkan keyakinan diri serta menonjolkan imej dan perwatakan yang baik dan positif.

Dalam konteks membudayakan kebersihan ini banyak yang boleh kita pelajari daripada masyarakat Jepun yang cukup dikenali dengan amalan bersih dalam kehidupan seharian mereka. Mereka sentiasa mengutamakan kebersihan baik di rumah mahupun stadium ketika menonton perlawanan bola sepak sehingga masyarakat dunia menyanjungi amalan murni tersebut.

Justeru, tidak salah untuk menjadikan mereka sebagai sumber rujukan dalam kita memupuk budaya pembersih di jiwa dan sanubari setiap anggota masyarakat. – UTUSAN

PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×