MUKADIMAH
GAYANYA keras dan lantang ketika berbicara tentang kisah penerbitan filem kontroversi terutama karya yang dikeluarkan pada masa kini.
Individu penting dan berpengalaman lama dalam bidang seni ini mempunyai prinsip sendiri yang tidak boleh ‘dilanggar’ sama sekali biarpun sehebat atau setinggi mana karya yang mahu diterjemahkan.
Baginya, ada batas perlu dijaga yang tidak begitu tinggi nilainya.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah Pengarah Filem dan Penulis, NASIR JANI atau lebih selesa digelar Pak Nasir bagi mendapatkan pandangannya.
INI BUKAN SENI
MINGGUAN MALAYSIA: Apa pandangan Pak Nasir berkenaan penerbitan filem kontroversi seperti Mentega Terbang dan Pulau? Adakah ia perlu dipandang dalam konteks lain?
NASIR: Ia bukanlah seni pun sebenarnya. Sebagai pengarah filem kita perlu tahu apa yang kita hendak cerita. Satu dunia pun begitu. Awak sebutlah nama pengarah terkenal dunia sekalipun, Francis Ford Coppola atau Martin Scorsese atau siapa sahaja pengarah, pokoknya bila kita mahu buat filem kita akan ceritakan benda yang dekat dengan kita.
Macam saya, filem saya semua dekat dengan saya seperti perkara berkaitan rock atau muzik.
Sekarang kalau saya jadi pengarah Mentega Terbang, apa saya nak cerita? Apa yang dekat dengan saya? Maknanya apa yang dekat adalah kemungkinan rasa tidak puas hati terhadap Islam, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) atau perkara berkaitan.
Bila rasa tidak puas hati sangat itu yang dilanggar semua undang-undang termasuk syarat ditetapkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dan permohonan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP). Tapi kenapa? Itu persoalan yang perlu dijawab.
Pada saya, mereka tidak jujur. Mereka mungkin ada agenda tersembunyi untuk mempengaruhi orang lain dalam usaha memburukkan Islam.
KESEDARAN PELAKON
Adakah satu penghinaan bagi artis Islam lain apabila menjadi pelakon untuk cerita sedemikian? Adakah ia secara tidak langsung meletakkan maruah artis sekadar di tapak kaki?
Itu kalau kita lihat sudut pandangan yang paling klise. Yang penting kesedaran pelakon itu sendiri. Engkau buat itu betul atau tidak dan adakah engkau baca skrip? Adakah engkau ini sebenarnya turut sealiran dengan pengarah dan penulis skrip yang tidak berpuas hati dengan ajaran Islam di Malaysia?
Engkau sayang atau tidak pada agama? Adakah engkau cukup sekadar dalam kad pengenalan sahaja berstatuskan agama Islam?
Lagi satu, kenapa watak itu nama Aisyah ? Adakah ia satu kebetulan? Adakah ia mempunyai kaitan dengan beberapa peristiwa yang pernah berlaku sebelum ini? Jadi apa agenda mereka sebenarnya?
Kenapa filem kontroversi masih lagi dikeluarkan dan perkara yang sama tetap berulang kali?
Orang kita senang makan rasuah. Dulu ada filem Lelaki Harapan Dunia. Kenapa tiada yang bantah watak budak kecil yang lepaskan unta untuk dibuat korban dalam filem tersebut?
Yang lepaskan (unta) pula budak beragama Islam. Siapa pengarah dia? Kenapa? Apa agenda dia? Zaman sekarang buat dulu lepas itu kecoh apabila benda (filem) sudah siap. Sampai kiamat pun filem itu akan terus ada.
Kalau ikut logik, orang kita juga ada yang tidak jujur. Tiada harga diri. Nama sahaja Islam. Kita bagi ruang pada mereka dan jangan salahkan mereka 100 peratus. Kita juga perlu dipersalahkan sepatutnya.
Adakah perlu digam sahaja pelakon tersebut?
Kalau dia sememangnya pengamal liberal kita hendak buat macam mana? Kalau gam di sini dia boleh berlakon di Indonesia atau di tempat lain.
Yang penting siapa penerbit, pengarah, dan penulis skrip. Jadi sekarang penulis, penerbit dan pengarah perlu dipertanggungjawabkan. Mereka sudah langgar prosedur operasi standard (SOP) dan undang-undang serta heret ke mahkamah. Bicarakan mereka.
FILEM LIBERAL
Sepanjang terbabit dalam industri, adakah Pak Nasir pernah dipelawa untuk terbabit dalam filem sedemikian?
Penerbitan filem kontroversi liberal ini bermula sejak tahun 2000 apabila ada pengarah terkenal berfikiran sebegini yang menghasilkan filem sehingga menerima sambutan. Sekarang ini pula adalah kemuncaknya.
Akan tetapi saya masih ingat bagaimana ada penerbit dan pengarah luar negara yang cuba langgar adat resam bangsa kita.
Waktu itu tahun 1981 pada bulan puasa. Saya masih ingat penggambaran dibuat di Setiu, Terengganu di satu kawasan hutan. Dalam cerita itu ada babak lakonan semula peristiwa My Lai sewaktu perang Vietnam membabitkan seorang budak perempuan.
Pelakonnya pula membabitkan seorang budak perempuan tempatan umurnya lebih kurang 10 tahun. Sewaktu rehearsal (latihan), budak terbabit elok keluar dari pondok dengan lengkap berpakaian. Tapi bila rakaman yang sebenar, tiba-tiba budak itu bogel pula. Mereka tanggalkan baju.
Jadi saya kata” Apahal pula budak ini dibogelkan. Tadi waktu rehearsal lain sekarang jadi lain,” Terus saya pergi depan kamera dan arah hentikan rakaman. Tapi mereka tetap hendak teruskan penggambaran.
Kebetulan saya dan kru lain ada parang sebab penggambaran dalam hutan. Terus saya dan krew lain keluarkan parang supaya dihentikan terus penggambaran filem berkenaan.
KONON TERBUKA SANGAT
Adakah kru filem dan artis perlu ada sikap berani dan berprinsip ada pengarah atau penerbit yang mahu menghasilkan filem kontroversi?
Yang paling penting sekarang pelakon kita dan kru kita. Bayangkan dialog Allahyarham Salleh Kamil di dalam filem Isi Neraka arahan Jamil Sulong. Pelakon punya bertaubat dan solat semua apabila melakonkan watak dalam filem berkenaan.
Maknanya kita sedar kita Islam waktu itu. Tapi sekarang ini disebabkan terlampau terbuka sangat, semua buat tidak peduli. Sampai macam itu sekali.
Fahaman liberal ini sekarang terus berkembang dan ini zaman kemuncak. Secara keseluruhan bila semua pelakon ini didoktrinkan pemikiran mereka? Itu kita kena tanya.
Yang dilarang dan diharamkan Tuhan kenapa nak bangga-bangga?
“KALAU ada agama lain dan awak rasa mahu peluk agama itu, silakan sayang. Saya betul-betul maksudkannya”
Itu antara petikan dialog kontroversi dalam filem Mentega Terbang selain babak yang menunjukkan watak bernama Aisyah meminum holy water dan kemudian mengucap dua kalimah syahadah.
Filem ini membangkitkan kemarahan umat Islam dengan melihatnya sebagai satu penghinaan. Namun beberapa persoalan timbul apabila memperkatakan hal berkenaan hukum agama.
Wartawan Mingguan Malaysia menemuramah Mufti Kelantan DATUK MOHAMAD SHUKRI MOHAMAD bagi mendapatkan pandangan beliau.
AKIDAH DAN PENGHINAAN
Adakah sumber pendapatan mereka yang terlibat haram dan apakah hukumnya?
Bagi saya hasil pendapatan itu isu sampingan. Perkara yang paling besar adalah dialog yang ada dalam filem tersebut. Sebagai contoh, ada dialog melibatkan seorang pelajar yang mahu menyatakan hasrat menukar agama. Dialog itu boleh menjejaskan akidah. Jadi pelakon dan pengarah sepatutnya perlu kaji skrip berkenaan dan sebagai orang Islam semua dialog tersebut seharusnya ditapis terlebih dahulu
Kemudian kita perlu lihat adakah dialog yang dilontarkan ini disebabkan kejahilan atau dibuat dengan sengaja semata-mata untuk menghina Islam walaupun mereka (pengarah dan pelakon) itu beragama Islam?
Sebabnya isu ini merupakan isu besar. Jadi, ada dua aspek yang boleh dilihat. Apabila ia disengajakan demi menghina Islam, sudah tentu memberi kesan kepada pendapatan. Kalau seseorang itu jahil dan dilafazkan dalam situasi itu, maka itu perkara lain.
Kalau buat perkara haram hasil pendapatan haram. Ambil contoh hasil daripada judi. Kita tahu ia aktivit haram jadi hasilnya haram.
Kalau untuk pekerja di belakang tabir sebagai contoh kru, ia berbalik sama ada dia sedar atau disebabkan kejahilan? Kalau kejahilan maknanya ada pengecualian.
HATI-HATI GERAKAN LIBERAL
Apabila ada orang Islam yang sanggup berlakon dalam cerita ini. Adakah satu petanda umat Islam semakin jahil?
Saya tak fikir umat Islam semakin jahil. Saya fikir ia melibatkan perkara sama ada ambil perhatian atau tidak kepada isu yang berbangkit.
Sebab itu, saya nak nasihatkan umat Islam agar berhati-hati dengan gerakan Islam liberal dan berhati-hati disaat masing-masing sibuk mengetengahkan idea dengan menonjolkan kelainan . Jangan sampai melanggar batas akidah, syariah dan akhlak.
Apa tindakan yang perlu dilakukan terhadap kedua ibu bapa pelajar perempuan tersebut?
Budak itu tidak murtad. Dalam Islam kalau didapati satu-satu kes yang berlaku, perlu diberi nasihat, taubat dan tidak terus menghukum. Ibu bapanya juga begitu.
Apakah hukum untuk mempelajari ilmu agama lain seperti membuat kajian ?
Kita boleh belajar. Bukan untuk mempercayai tapi nak dijadikan hujah. Kalau kita tak belajar selok belok, bagaimana kita boleh berhujah?
HOLY WATER DAN DAGING BABI
Bagaimana dengan babak pelakon Islam yang meminum holy water dan menzahirkan keinginan untuk menikmati makan daging babi?
Tidak boleh. Itu satu penghinaan. Kita perlu jaga syariat. Bahkan kalau kita berlakon menggunakan air sejuk yang sememangnya halal dan kemudian berbangga kata itu ia arak, itupun haram. Sebab, sudah bangga dengan perkara haram.
Benda yang dilarang agama dan diharam Tuhan kenapa kita hendak tonjol-tonjolkan dan berbangga.
Bagi saya dalam keadaan sekarang, ia memberi satu gambaran hebat dan sengit kepada para pendakwah untuk mendepani cabaran akan datang. Dalam keadaan pelbagai bentuk. – Mingguan Malaysia










