Perlu bijak elak perselisihan perlembagaan UMNO - Utusan Malaysia

Perlu bijak elak perselisihan perlembagaan UMNO

PERKARA 20.9(d) perlembagaan UMNO mewajibkan setiap ahli patuh dan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh parti. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMNO didapati tidak lepas daripada nasib malang seperti bak kata orang, sudah jatuh ditimpa tangga. Pelbagai masalah menghimpit UMNO satu demi satu sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Kejutan kesan kekalahan teruk UMNO pada PRU15 masih menghantui sebahagian besar ahli dan penyokong parti itu. Ditambah pula dengan masalah baharu yang timbul ekoran daripada keputusan yang dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.

Keputusan berkaitan dengan tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti yang dijangka diadakan pada tahun ini didapati sukar diterima segelintir ahli UMNO malah dipersetujui oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Memuatkan artikel berkaitan…

Ekoran daripada kelulusan keputusan tersebut, ada pihak yang mendakwa malah melapor kepada RoS kononnya, keputusan untuk tidak diadakan pemilihan bagi kedua-dua jawatan utama itu pada kali ini adalah bertentangan malah bercanggah dengan semangat demokrasi dan fasal-fasal yang terkandung dalam perlembagaan UMNO.

Namun, pihak pengurusan UMNO mendakwa keputusan tersebut adalah dibuat bersandarkan syarat-syarat yang terkandung dalam perlembagaan parti. Menurut Perkara 8.5.1 perlembagaan UMNO, Presiden berkuasa memanggil perhimpunan khas untuk membuat sesuatu keputusan demi kepentingan parti.

Selain itu, Perkara 30.1 pula menggariskan pindaan terhadap perlembagaan parti boleh dibuat dengan persetujuan dua pertiga ahli perhimpunan agung khas.

Dengan itu, kepimpinan UMNO mendakwa keputusan untuk tidak diadakan pemilihan bagi kedua-dua jawatan utama demi kepentingan parti yang dipersetujui oleh lebih daripada dua pertiga perwakilan UMNO malah mungkin persetujuan dengan sebulat suara adalah selaras dengan peraturan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam perlembagaan UMNO.

Meskipun para perwakilan PAU 2022 membuat keputusan sebulat suara untuk tidak diadakan pemilihan bagi dua jawatan penting dalam parti pada kali ini, RoS sebagai pihak berkuasa yang mengawal perjalanan sesebuah organisasi atau parti politik dalam konteks pematuhan perlembagaan parti atau organisasi berkenaan, difahamkan tidak menerima sebarang alasan yang dikemukakan oleh kepimpinan UMNO untuk menangguhkan pemilihan bagi kedua-dua jawatan tersebut.

TULAR

Keputusan RoS dalam isu ini didapati tular secara meluas dalam media sosial. Penularan surat kononnya daripada pejabat RoS dalam media sosial yang menolak permohonan kepimpinan UMNO didapati menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan ahli-ahli UMNO di semua peringkat.

Malah, perbahasan Parlimen yang bersidang kini juga membangkitkan isu surat RoS kepada pihak pengurusan UMNO berhubung keputusan menangguhkan pemilihan terhadap dua jawatan utama dalam parti.

Media sosial khususnya TikTok juga dipenuhi dengan tafsiran pelbagai pihak yang menarik hati bukan sahaja ahli UMNO bahkan bukan ahli parti itu.

Pertikaian mengenai isu ini dalam UMNO dijangka menimbulkan keretakan dalam parti yang akan turut menjejaskan kekuatannya untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka diadakan di enam negeri pada pertengahan tahun ini.

Dalam pada itu, masalah tidak puas hati yang timbul dalam kalangan ahli UMNO susulan episod penggantungan dan pemecatan hampir 42 ahli parti, termasuk beberapa veteran yang pernah menjawat jawatan tertinggi parti, didapati masih membara dalam kalangan segelintir pemimpin dan ahli UMNO yang berpengaruh di peringkat akar umbi.

Kemerosotan sokongan daripada sebahagian pengundi Melayu dan bukan Melayu malah peralihan sokongan penyokong tradisi UMNO kepada parti lawan dalam PRU15 dikesan menyebabkan UMNO hanya memenangi 26 kerusi Parlimen.

Dengan itu, kekuatan dan perpaduan dalam parti adalah amat penting sebagai benteng bukan sahaja untuk UMNO melancarkan serangan terhadap parti lawan malah bagi mempertahankan kubunya agar tidak dicerobohi oleh parti lawan dalam usaha menjamin kemenangan UMNO pada PRN nanti.

Sehubungan dengan permasalahan ini, kita lihat satu situasi di mana pihak yang merujuk kepada perlembagaan parti, khususnya Perkara 9.3 berkaitan perlunya ada pemilihan untuk melantik Presiden dan Timbalan Presiden, perlu juga melihat dan merujuk Perkara 20.9(d) yang mewajibkan setiap ahli patuh dan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh parti.

Apa pun, perlu sedar bahawa UMNO ialah parti keramat yang ditubuhkan untuk membela dan menjamin kepentingan orang Melayu dan raja-raja Melayu serta Islam di negara ini.

Malah, parti yang bertanggungjawab untuk memastikan dan menjamin beberapa perkara penting, khususnya Perkara 152 (bahasa Melayu) dan Perkara 153 (hak istimewa orang Melayu atau bumiputera), tersemat dalam Perlembagaan Persekutuan, dokumen undang-undang tertinggi negara ini.

Sehubungan itu, kepimpinan UMNO perlu bijak menyesuaikan dengan perubahan paradigma yang ketara berlaku dalam medan politik di mana kongsi kuasa menjadi prinsip atau mantera politik yang mampu menjamin kelangsungan sesebuah parti dalam komuniti majmuk.

Adakah UMNO mampu terkeluar daripada tengkarah (perselisihan) ini supaya terus melestarikan perjuangannya yang belum selesai demi kepentingan orang Melayu seperti tercatat dalam perlembagaan parti itu? – UTUSAN

DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial dan politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×