Hospital Cyberjaya jadi rujukan kes bencana

Hospital Cyberjaya jadi rujukan kes bencana

Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melawat wad pediatrik kanak-kanak selepas merasmikan Hospital Cyberjaya, semalam. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Kedudukan strategik Hospital Cyberjaya berpotensi dijadikan sebagai hospital respon utama untuk apa-apa bencana di pintu masuk negara.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, ini kerana ia berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 1) dan KLIA Terminal 2 selain arena sukan Litar Antarabangsa Sepang dan Silicon Valley Cyberjaya dapat memanfaatkan perkhidmatan kesihatan di hospital tersebut.

Katanya, sejajar usaha memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan kesihatan negara, pembinaan Hospital Cyberjaya ini bertujuan mengurangkan kadar penggunaan katil hospital-hospital di Lembah Klang yang tinggi.

“Pada masa ini, kadar penggunaan katil di hospital-hospital awam di daerah Sepang dan Hulu Langat terutamanya Hospital Kajang adalah melebihi 90 peratus sementara BOR melebihi 80 peratus bagi Hospital Serdang dan Hospital Ampang,” katanya di sini semalam.

Teks ucapan Zaliha itu dibacakan Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni pada Majlis Perasmian Hospital Cyberjaya hari ini yang diper­kenan rasmi oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Jelas Dr. Zaliha, terdapat isu prosedur pembedahan tertunggak di mana 85.1 peratus daripada kes tertunggak di sekitar Lembah Klang bertumpu di hospital-hospital awam sekitar Cyberjaya.

Sehubungan itu, katanya, pelaksanaan hospital kluster antara Hospital Cyberjaya de­ngan Hospital Selangor Selatan (Kajang, Serdang dan Ampang) dapat memperkukuhkan perkongsian sumber serta per­khid­matan kepakaran untuk jangka masa panjang.

Tambahnya, menerusi pembinaan Hospital Cyberjaya dan kerjasama fasiliti kesihatan lain, pelbagai program berkaitan kesihatan dapat dirancang dan dilaksana dengan lebih menyeluruh seperti perluasan aktiviti sari­ngan kesihatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×