KOTA KINABALU: Kerajaan Pusat bercadang mewujudkan Estet Padi di Sabah yang akan dibangunkan melalui Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah (Felcra) di kawasan yang akan dikenal pasti oleh kerajaan negeri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia penting untuk keterjaminan makanan bagi memastikan bekalan padi di Sabah mampu menampung penggunaan tempatan serta disimpan sekiranya ada keperluan.
Ahmad Zahid berkata, penduduk kampung yang terlibat dengan estet itu akan memperoleh dividen dan juga menjadi tenaga kerja di kawasan pembangunan tanaman padi ini.
Di samping itu, katanya, kawasan perumahan akan turut dibangunkan di estet padi itu bagi penempatan peneroka yang terlibat.
Beliau berkata, soal tanah diserahkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang akan mengumumkan mengenai pembangunan estet tersebut.
“Pada dasarnya, kita telah berbincang dan Ketua Menteri perlu bawa (cadangan) ke Jemaah Kabinet untuk kelulusan. Pembangunan estet padi ini telahpun dilaksana di Pasir Salak yang dikenali sebagai Seberang Perak,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan di sini, semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pelaksanaan projek-projek desa termasuk prasarana dan utiliti akan membantu kerajaan mengeluarkan tiga daerah di Sabah daripada kelompok termiskin.
Jelasnya, daerah terbabit ialah Pitas, Kota Marudu dan Tongod.
Katanya, beliau akan menunggu cadangan kerajaan negeri terutama jawatankuasa teknikal yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri yang akan memperincikannya dengan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah mengenai cadangan tersebut.
“Ini adalah ‘game changes’ oleh kerajaan negeri dan KKDW. Pelaksanaannya akan dibincangkan bersama dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan bagi merealisasikan hasrat membawa rakyat di ketiga-tiga daerah ini keluar dari miskin tegar,” katanya.
Beliau berkata, penyelarasan projek yang dilakukan itu membabitkan peruntukan berjumlah RM50 juta ke bawah seperti yang telah diumumkan sebelum ini.
“Penyelarasan yang dilakukan akan membabitkan pembentukan jawatankuasa teknikal di bawah kerajaan negeri dan ia turut membabitkan ketua-ketua jabatan dan kementerian,” katanya. – UTUSAN










