‘Dalam hati saya kini hanya ada Pas, PN’

‘Dalam hati saya kini hanya ada Pas, PN’

SHAHIDAN KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALI pertama menjejakkan kaki ke Dewan Rakyat mewakili Perikatan Nasional (PN), sudah pasti memberi persepsi berbeza terhadap Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim kerana sebelum ini beliau dilabel sebagai orang kuat UMNO.

Namun, kelantangannya mempertahankan PN pada kali ini sehingga mengeluarkan hashtag #UMDAP (UMNO DAP) mencuit hati beberapa pihak. Ada yang terguris, ada menganggapnya bahan jenaka.

Ikuti temubual wartawan Utusan Malaysia, NUR ASLINDA MOHD NASIR bersama Shahidan di bangunan Parlimen baru-baru ini.

UTUSAN: Sebelum ini hadir ke Parlimen mewakili ahli Parlimen UMNO, sekarang buat kali pertama mewakili parti yang berbeza. Tidak rasa janggalkah?

SHAHIDAN: Tidak, saya bersyukur tidak berada dengan UMNO yang bersama dengan DAP kerana saya masih berpegang kepada No DAP.

Dalam keadaan saya dapat majoriti 23,000 undi, Presiden UMNO hampir kalah dengan majoriti 300 lebih undi sahaja, tetapi beliau dapat menjadi Timbalan Perdana Menteri. UMNO harus ingat, rakyat telah menolak Presiden UMNO, tidak menyokong Timbalan Perdana Menteri, malah apabila kerjasama dengan DAP pula, saya yakin jika ada sebarang pilihan raya, presiden akan kalah.

Punca hubungan Datuk Seri ‘dingin’ dengan Presiden UMNO?

Apa masalah? Ini bukan soal kecil hati atau apa, baru-baru ini kami jumpa pun kami berpelukan, dia sahabat baik saya. Cuma dari segi pendirian kami berbeza. Ini ketentuan qada’ dan qadar, kalau saya masih ahli UMNO, mungkin jadi lain. Tetapi sekarang saya bertanding di bawah PN, semua jadi lain.

Lagipun, yang keluar sertai PN hanya saya seorang. Saya dapat majoriti 23,000 undi dan separuh yang menyokong saya adalah orang UMNO. Parlimen Arau ini tidaklah besar mana, dan sewaktu saya di dalam UMNO, majoriti yang saya dapat hanyalah 4,856 undi sahaja. Sekarang berlipat kali ganda. Apa maknanya? Maknanya rakyat sudah tidak menyokong UMNO.

Barangkali itu hanya jangkaan Datuk Seri sahaja?

Kalau pergi buat survey, orang UMNO majoriti tidak mahu kerjasama dengan DAP. Dari segi prinsip perjuangan, UMNO kira habislah. UMNO sudah hilang penghormatan yang dia pegang selama ini kerana prinsip asalnya adalah No DAP.

Kena faham DAP itu pegang konsep Malaysian Malaysia, kita pula nak perjuangkan nasib Me­la­yu Islam. Sebab itu bila saya sertai PN, kita dapat kemenangan luar biasa, rakyat yang memilih, bukan mereka yang tentukan.

Dalam hati masih sayang UMNO?

Dalam hati saya Pas dan PN, sebab UMNO bukan lagi UMNO yang dulu. Masa zaman saya, itu UMNO. Sekarang lain, UMNO DAP.

Ada tak pemimpin UMNO menyatakan isi hati mereka kepada Datuk Seri, mungkin ada yang masih tidak selesa dengan kerjasama bersama bersama Pakatan Harapan?

Itu kena tanya mereka, jangan tanya saya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×