500j liter air dibazir setiap hari - Utusan Malaysia

500j liter air dibazir setiap hari

Gangguan bekalan air
SEBANYAK 660 kawasan perumahan dan perindustrian di enam daerah di Selangor dan Kuala Lumpur akan mengalami gangguan bekalan air pada 5 Jun depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Rakyat Malaysia khususnya penduduk Lembah Klang membazir air terawat lebih 500 juta liter sehari akibat penggunaan tidak cermat seperti banyak digunakan ketika berada dalam tandas dan mencuci barang-barang keperluan secara berlebihan.

Air yang dibazirkan setiap hari itu boleh digunakan untuk mengisi kira-kira 200 buah kolam renang bersaiz olimpik.

Secara purata, setiap 9.1 juta pengguna di Lembah Klang meliputi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya direkodkan menggunakan 217 liter air per kapita sehari iaitu 57 liter lebih banyak berbanding disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang meletakkan panduan penggunaannya sebanyak 160 liter.

Jika dipecahkan mengikut kawasan, Selangor sebagai ne­geri berkepadatan tinggi mempunyai 7.04 juta pengguna dan lebihan air yang sepatutnya boleh dijimatkan adalah 401 juta liter sehari.

Di Kuala Lumpur pula, 111 juta liter air sehari boleh dijimatkan oleh 1.95 juta pengguna manakala di Putrajaya dengan sejumlah 120,000 penduduk boleh jimatkan tujuh juta liter.

Daripada jumlah keseluruhan penggunaan di Lembah Klang, hanya 31 peratus penggunaan air membabitkan ko­mersial seperti sektor perkila­ngan ataupun perniagaan perkhidmatan.

PENGGUNA

Jika dibandingkan dengan Singapura, pengguna di republik itu menghabiskan sekitar 158 liter air sehari. Bahkan, negara-negara di Eropah seperti United Kingdom (UK) setiap rakyatnya hanya menggunakan 152 liter air sehari. Jumlah penggunaan air di negara-negara itu lebih rendah daripada saranan WHO 160 liter sehari.

Sementara itu, semakan Utusan Malaysia mendapati jika pengguna Lembah Klang mampu menjimatkan 500 juta liter air sehari, dalam masa setahun pembayaran bil air sekitar RM520,000 atau RM42,750 sebulan dapat dikurangkan berdasarkan tarif air 57 sen untuk 20 meter padu pertama.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Air Selangor, Ir. Abas Abdullah berkata, maklumat pembaziran air oleh penduduk diperoleh menerusi laporan Jabatan Perangkaan (DOSM) pada tahun lalu.

Menurut beliau, penggunaan air khususnya dalam kalangan pengguna di Lembah Klang amat tinggi dan perlu diberi kesedaran bagi membolehkan kemapanan bekalan apabila berlaku krisis.

“Kalau kita tengok dalam 217 liter penggunaan air ba­nyak digunakan adalah dalam tandas. Itu yang paling banyak digunakan, contohnya pam tandas, berdasarkan statistik banyak penggunaan air.

“Sekarang kita ada produk jimat, ada pam yang boleh flush setengah takungan ataupun sepenuhnya. Jadi itu antara produk-produk jimat air yang disyorkan oleh kerajaan,” kata beliau ketika ditemu bual baru-baru ini.

MENCUCI KERETA

Selain di tandas, pembaziran turut berlaku ketika mencuci kereta, cuci halaman rumah, siram pokok bunga dan penggunaan kolam renang mudah alih.

Kata Abas, penjimatan seku­rang-kurangnya 10 hingga 20 peratus memberi impak sangat besar bukan sahaja kepada margin simpanan air, malahan perancangan untuk pembangunan loji air pada masa hadapan.

“Tentunya margin simpanan bekalan air akan lebih tinggi, maka kita boleh tangguhkan kerja-kerja pengeluaran modal seperti membina loji baharu. Boleh dilewatkan sedikit, itu antara impak paling besar.

“Kerana membangunkan satu sumber air, kosnya agak tinggi, jadi seperti kita hendak bangunakn LRA Rasau, kosnya agak tinggi. Untuk menyiapkan projek itu juga mengambil masa yang lama, terutama sekali pemasangan paip yang merentas kawasan sibuk dan sebagainya,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Air Selangor meletakkan sasaran melalui kempen dan langkah penjimatan untuk tempoh sehingga 2030 bagi memastikan matlamat penggunaan air di bawah 160 liter boleh dicapai.

“Itu yang disyorkan WHO, sebenarnya Malaysia juga ada Pelan Hala Tuju Kelestarian Alam Sekitar 2030, sasarannya adalah 190 liter menjelang 2023, 180 liter (2025) dan 160 menjelang 2030,” kata beliau.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×