Penuhkan baki Syaaban dengan ibadat

Penuhkan baki Syaaban dengan ibadat

UMAT Islam wajar tidak melepaskan peluang merebut rahmat dalam bulan Syaaban dengan memperbanyakkan ibadah termasuk membaca al-Quran. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALHAMDULILLAH, kita sudah berada pada 10 Syaaban, hari ini. Ini bermakna kira-kira 19 atau 20 hari lagi kita akan memasuki Ramadan al-Mubarak. Semoga Allah panjangkan umur kita untuk sekali lagi bertemu Ramadan. Ia sebagaimana doa, “Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Syaaban, sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.”

Syaaban juga satu daripada empat bulan yang dinyatakan Allah SWT sebagai bulan yang dihormati seperti firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah 12 bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa ia mencipta langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus.” (at-Taubah: 36)

Seperti kita maklum, Syaaban adalah bulan paling dicintai Nabi Muhammad SAW. Baginda memperbanyak puasa sunat sehingga hampir berpuasa sebulan penuh, kecuali satu atau dua hari pada akhir bulan.

Daripada Aisyah r.ha berkata, “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW melakukan puasa satu bulan penuh ­kecuali puasa bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihat baginda lebih banyak berpuasa sunah melebihi (puasa sunat) di bulan Syaaban.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bagi yang sudah berpuasa sunat Syaaban sebelum ini, syabas dan bolehlah diteruskan. Bagi yang belum, masih belum terlewat untuk menunaikannya. Selain ia mencontohi sunnah Nabi SAW, ia juga adalah sebagai latih tubi sebelum berhadapan dengan puasa Ramadan.

Dalam hadis lain, sabda Rasulullah SAW apabila ditanya apakah bulan selepas Ramadan terafdal berpuasa. Nabi SAW menjawab yang bermaksud: “Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadan.” Nabi SAW ditanya lagi, “Sedekah apakah yang terafdal?” Nabi SAW menjawab, “Sedekah di bulan Ramadan.” (Riwayat at-Tirmizi)

MENGGANTI PUASA RAMADAN YANG LALU

Bulan Syaaban juga adalah masa terbaik mengganti puasa tertinggal dalam Ramadan tahun-tahun lepas. Tidak kiralah atas alasan apa ditinggalkan puasa itu, ia wajib diganti atau dibayar fidyah berdasarkan syarat dan timbangan tertentu.

Bagi kaum Muslimah yang belum habis menggantikan puasa, Syaaban inilah masanya menggantikan puasa tersebut. Ia sebagaimana hadis daripada Aisyah r.ha: “Aku mempu­nyai hutang puasa Ramadan, aku tidak dapat mengqada­nya kecuali di bulan Syaaban, kerana sibuk melayani Nabi SAW.” (Riwayat Bukhari)

ISTIQAMAH MELAKSANAKAN AMAL IBADAH DAN KEBAJIKAN

Amal ibadah yang dilakukan secara berterusan akan menjadikan jiwa kita sentiasa tetap dengan pendirian.

Istiqamah bermaksud sentiasa melakukan amal ibadah setiap hari walaupun hanya sedikit atau sekejap masa diambil untuk melaksanakannya.

Ini termasuk ­melazimi solat berjemaah di masjid dan membanyakkan membaca serta mentadabbur al-Quran.

MEMPERKUKUH SILATURAHIM SESAMA MANUSIA

Hubungan sesama manusia amatlah penting kerana ia berkait dengan hubungan manusia dengan Allah SWT.

Leraikanlah permusuhan sesama kita dan saling bermaafan kerana Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa manusia sesama manusia selagi mana mereka tidak saling bermaafan. Sucikan diri daripada perasaan dendam dan dengki sesama Muslim sebelum tibanya Ramadan supaya amal ibadah pada bulan berkat ini dapat dirasai ­kemanisannya.

BERTAUBAT DAN BERISTIGHFAR

Manusia digalakkan bertaubat dan memohon keampunan Allah atas segala dosa selama ini. Ramai yang tidak menyedari bahkan alpa dengan dosa-dosa yang dilakukannya saban waktu.

Dosa yang dilakukan semakin hari semakin bertambah ter­utamanya dosa-dosa kecil hasil perbuatan manusia sama ada melalui percakapan, penglihatan, pendengaran atau perbuatan.

Semua dosa ini sebenarnya menjadi titik-titik hitam yang menyebabkan hati menjadi semakin keras. Natijahnya, individu terbabit akan jauh daripada petunjuk Allah.

Taubat ialah pembersihan rohani. Daripada Ibn Abbas, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang selalu memohon ampun (memperbanyak istighfar), nescaya Allah menjadikan untuknya setiap kesusahan itu ada kesenangan, setiap kesempitan ada jalan keluar dan dia diberi rezeki yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Antara persoalan yang sering dibangkitkan adalah hukum berpuasa sunat selepas nisfu Syaaban (15 Syaaban). Pendapat yang tepat dalam hal ini adalah tidak ada halangan berpuasa selepas pertengahan Syaaban.

Sebabnya, hadis larangan berbuat demikian termasuk hadis yang lemah. Apatah lagi jika individu berkenaan memang melazimi dirinya berpuasa. Pengecualian juga diberi kepada mereka yang puasa qada atau nazar.

Larangan berpuasa itu kepada mereka yang saja-saja mahu puasa sunat sedangkan dia bukanlah orang yang melazimi berpuasa.

Berikut adalah irsyad hukum: Hukum Puasa pada Hari Nisfu Syaaban dan Selepasnya (Jabatan Mufti Pulau Pinang):

 Sunat puasa dalam bulan Syaaban secara amnya.

 Dibolehkan puasa sunat pada hari nisfu Syaaban (15 Syaaban).

 Dibolehkan puasa sunat pada 16-30 Syaaban bagi orang yang biasa puasa sunat sebelum itu.

 Haram puasa sunat pada 16-30 Syaaban bagi orang yang tidak biasa puasa sunat sebelum itu.

 Dibolehkan puasa wajib seperti qada, nazar dan seumpamanya pada 16-30 Syaaban.

Tentang sambutan malam nisfu Syaaban, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 23 November 2015 membuat keputusan seperti berikut:

Berdasarkan kepada hadis-hadis Nabi, maka adalah wajar bagi umat Islam untuk tidak melepaskan peluang mengambil dan merebut rahmat dan kurniaan Allah dengan cara beribadah seperti solat sunat, membaca al-Quran, berzikir, membaca doa nisfu Syaaban dan lain-lain lagi dengan memanjatkan kesyukuran atas limpahan nikmat Allah yang tiada terhingga banyaknya.

Oleh demikian, merayakan malam nisfu Syaaban dengan melakukan pelbagai ibadah yang membawa kepada keredhaan Allah dan keampunan adalah sunat/mustahab hukumnya.

Cara kebiasaan umat Islam di Johor menghidupkan malam nisfu Syaaban ialah dengan membaca surah Yasin tiga kali selepas solat maghrib dan setiap kali selepas membaca Yasin, mereka membaca doa.

Pada bacaan Yasin kali pertama, diniatkan dengan memohon panjang umur. Pada bacaan kali kedua, diniatkan dengan memohon agar dijauhkan daripada bala dan pada bacaan kali ketiga, diniatkan memohon rezeki yang halal. Cara begini memang digalakkan dalam Islam.

Justeru, menghidupkan malam nisfu Syaaban ini bukanlah satu amalan bidaah bahkan tergolong dalam kategori perkara-perkara mustahabah/sunat.

Bagaimanapun, dalam keghairahan kita meraikan malam nisfu Syaaban dengan pelbagai cara ibadat, kita perlu berhati-hati agar tidak terjerumus dalam melakukan perkara-perkara bidaah antaranya solat sunat nisfu Syaaban kerana ia tiada sabit dalam syarak sama ada dari nas al-Quran ataupun hadis Nabi SAW. (e-Sumber Fatwa Jakim) – UTUSAN

Mohd. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×