PETALING JAYA: Majoriti siswazah lulusan ijazah sarjana muda yang bekerja dibayar gaji bulanan bawah RM2,000 iaitu di bawah pendapatan garis kemiskinan (PGK) ditetapkan kerajaan iaitu RM2,208 sebulan.
Trend tersebut dikesan dalam tempoh 2018 hingga 2021 dan keadaan itu sama sehingga sekarang malah lebih menyedihkan apabila ramai yang terpaksa menganggur kerana permohonan kerja berpuluh kali tetap gagal.
Kedudukan gaji pemegang ijazah sarjana muda yang masih sama seperti 10 tahun lepas sekali gus menjadikan kadar upah di Malaysia ketinggalan 20 peratus berbanding negara lain seperti di Singapura dan Jepun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Matkar Siwang berkata, berdasarkan Laporan Kajian Pengesanan Graduan 2021, sebanyak 36.2 hingga 46.2 peratus lepasan ijazah pertama masih menerima gaji bulanan sekitar RM1,001-RM2,000 manakala 59.6 peratus dan 69.6 peratus lulusan diploma juga berada dalam kumpulan pendapatan sama.
Menurut beliau, bagi pelajar lepasan sijil, majoriti mereka iaitu antara 57.4 hingga 67.8 peratus dibayar gaji antara RM1,001-RM2,000 sebulan.
GAJI
“Nilai upah bagi lulusan siswazah, diploma dan sijil kira-kira separuh yang berjaya mendapat kerja menerima gaji di bawah PGK iaitu RM2,208 sebulan,” kata beliau semalam.
Justeru, kata Matkar, kadar gaji bawah RM2,000 kepada pemegang ijazah sarjana muda bukan sahaja tidak munasabah tetapi menjejaskan produktiviti apabila pekerja-pekerja ditawar gaji tidak setimpal dengan kelayakan akademik.
Beliau berkata, lama-kelamaan situasi itu menyebabkan siswazah menceburi perniagaan dan ekonomi gig yang menjanjikan pendapatan lumayan, sekali gus menyebabkan negara kehilangan bakat pelapis masa depan.
“Bayangkan ada majikan beri gaji cuma RM1,500 mengikut syarat gaji minimum dan masih tidak mahu menambah imbuhan jika kerana tidak disyaratkan oleh kerajaan.
“Jika ini situasinya bagaimana Malaysia mahu mencapai status negara maju? Sikap sebegini mengakibatkan kadar upah pekerja Malaysia ketinggalan 20 peratus berbanding negara lain kerana tidak pernah berubah sejak 10 tahun lalu,” kata beliau.
SISWAZAH
Matkar berharap kerajaan melihat isu gaji rendah dan tiada kerja dalam kalangan siswazah ini menerusi langkah mentransformasi ekonomi ke arah bergaji tinggi dan ini memerlukan iltizam daripada semua pihak terutamanya pemain industri.
Jelas beliau, antaranya kerajaan perlu melakukan perubahan struktur ekonomi jika ingin melihat lebih banyak penciptaan peluang pekerjaan kepada lepasan pusat pengajian tinggi.
“Peluang pekerjaan dan ekonomi perlulah seimbang, namun majikan perlu berkongsi keuntungan sama adil dengan pekerja yang selama ini bekerja memajukan syarikat. Insya-Allah kami MTUC akan membangkitkan isu ketika perjumpaan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 Mac ini,” katanya.
Matkar berkata, mengambil kira situasi semasa iaitu lonjakan kos sara hidup dan inflasi, gaji minimum terkini sepatutnya dinaikkan kepada RM1,800.
STATIK
Kata beliau, majikan pula perlu berhati ‘mulia’ dan tidak boleh terlalu statik berhubung imbuhan gaji kepada pekerja yang berkhidmat lebih 10 tahun.
“Kita harap saranan kerajaan gaji minimum pekerja dikaji setiap dua tahun akan dilakukan,” katanya.
Menyentuh soal peluang pekerjaan, Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, kerajaan perlu mengkaji semula dasar-dasar yang membantutkan menarik minat pelabur ke negara ini kerana perkara itu menjejaskan peluang pekerjaan kepada graduan.
Menurut beliau, kerenah birokrasi masih mewarnai persekitaran dasar ekonomi apabila menyebabkan proses permulaan perniagaan mengambil masa terlalu panjang sehingga tiga dan empat bulan.
“Selain itu, kita perlu menyediakan iklim perniagaan berdaya saing dengan bukan sahaja mempermudahkan birokrasi, tetapi mampu menawarkan keperluan tenaga buruh mencukupi kerana kedua-dua perkara ini menjadi punca ketidakyakinan pelabur.
“Perlu meneruskan insentif cukai, tetapi pada masa sama kena melihat perkara menghalang pelabur tidak yakin di Malaysia,” katanya.- UTUSAN










